Ahmad Zahid rasmi Perhimpunan Agung PPP 18 Januari
KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Progresif Penduduk (PPP) yang akan berlangsung pada 18 Januari ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Presiden PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, kehadiran Ahmad Zahid amat signifikan kerana beliau dijangka menekankan kepentingan serta peranan berterusan PPP dalam gabungan BN melalui ucapan dasar perasmian perhimpunan itu.
“Perhimpunan agung berkenaan menjadi medan penting bagi parti untuk menentukan hala tuju politik, khususnya ketika ahli masih menantikan keputusan muktamad mengenai pengembalian status PPP sebagai parti komponen BN.
“Perhimpunan ini bukan sahaja platform untuk menyatukan ahli, malah menjadi ruang strategik bagi parti merangka pendekatan baharu dalam menghadapi landskap politik semasa dan cabaran pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Loga berkata, sesi kedua perhimpunan akan menyaksikan perbahasan serta pembentangan sebanyak 10 resolusi melibatkan isu-isu nasional utama termasuk reformasi pendidikan dan sosial, perpaduan nasional serta agenda berkaitan belia.
“Antara resolusi terpenting yang akan dikemukakan ialah cadangan penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti reformasi pendidikan, bertujuan memastikan akses yang lebih adil, inklusif dan saksama kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Perhimpunan tersebut dijangka menghimpunkan lebih 5,000 ahli dari seluruh negara, termasuk perwakilan sayap utama parti serta sayap Pemuda dan Wanita.
“Komitmen ahli yang hadir mencerminkan kesungguhan PPP untuk terus memainkan peranan aktif dalam landskap politik negara,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








