PRN Sabah: BN fokus pada kerusi boleh dimenangi
KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) Sabah tidak akan bertanding di semua 73 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN17) sebaliknya hanya memberikan fokus kepada kerusi-kerusi yang dianggap berpotensi besar untuk dimenangi.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, antara strategi yang akan digunakan termasuk bekerjasama dengan kumpulan politik yang digelar sebagai ‘third force’ di negeri itu bagi memastikan kemenangan di kerusi terpilih.
“Yang penting, kerusi-kerusi ini adalah kerusi-kerusi yang kebolehmenangannya tinggi, dan kita akan bekerjasama dengan the ‘third force’ di negeri Sabah ini untuk memastikan bahawa kerusi-kerusi itu akan memihak kepada calon-calon BN,” katanya.
Walau bagaimanapun, beliau tidak menyatakan secara terperinci atau merujuk siapa atau parti mana berhubung ‘third force’ yang dimaksudkan itu.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas Upacara Flag-Off Skuad Sukarelawan BN di pekarangan Bangunan UMNO Sabah, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN yakin mampu melepasi pencapaian 14 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya terdahulu, dengan tambahan kerusi baharu yang sedang dikenal pasti.
Dalam masa sama, rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) juga telah mencapai persetujuan awal bagi mengelakkan pertembungan, namun perincian lanjut hanya dimuktamadkan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat secara rasmi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








