Pengguguran kes Zahid Hamidi detik hitam dalam sistem keadilan negara – Muhyiddin
KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Peguam Negara menggunakan kuasanya untuk menarik balik kes mahkamah melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas beliau dipanggil membela diri di mahkamah adalah sebagai tidak bermoral.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, ini kerana Presiden UMNO itu telah didakwa di mahkamah dan pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie dengan mengemukakan keterangan berdokumen dan 99 orang saksi.
“Ini bermakna mahkamah telah berpuas hati bahawa terdapat bukti-bukti yang berasas tentang perlakuan jenayah tersebut oleh Zahid dan mengarahkan beliau untuk membela diri.
“Yang peliknya pihak pendakwaan yang telah berjaya membuktikan kes prima facie memohon kepada mahkamah untuk menggugurkan pertuduhan. Ini amatlah tidak munasabah.
“Adakah ini bermakna pihak pendakwaan mengakui bahawa bukti-bukti yang dikemukakan oleh mereka di mahkamah tidak boleh dipakai? Atau ada arahan daripada pihak atasan bahawa kes ini mesti digugurkan walau dengan apa cara sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin juga menyifatkan sekiranya terdapat arahan supaya kes tersebut digugurkan, ia merupakan detik hitam dalam sistem keadilan negara.
“Perdana Menteri mesti mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kerosakan yang sedang berlaku dalam sistem keadilan negara yang saya percaya berpunca daripada kerakusan beliau sendiri untuk mengekalkan kuasa.
“Ia membuktikan sikap munafik beliau yang nyata. Slogan reformasi institusi dan tatakelola yang sering beliau dilaungkan hanyalah suatu pembohongan dan omongan kosong sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, keputusan menggugurkan pertuduhan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu juga pastinya menggoncang keyakinan pelabur terhadap sistem keadilan di Malaysia.
“Sudahlah seorang yang berhadapan tuduhan jenayah rasuah dilantik ke jawatan nombor dua tertinggi negara, malah pertuduhan ke atasnya juga digugurkan. Malaysia telah menjadi “a rogue state” atau negara penyangak.
“Sudah tiba masanya rakyat menilai semula keabsahan kerajaan perpaduan ini yang sepatutnya mendokong kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








