BERITA SEMASAPOLITIK

‘Gelombang biru’ Johor diharap jadi pemangkin kemenangan BN di negeri lain – Zahid

JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap kemenangan besar gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan menjadi pemangkin kepada kebangkitan ‘gelombang biru’ di negeri-negeri lain menjelang siri pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, pencapaian BN yang secara tidak rasmi mendahului dengan lebih 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor memberi suntikan semangat kepada parti untuk menghadapi PRN Negeri Sembilan, diikuti Melaka dan seterusnya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Mudah-mudahan kejayaan ini juga akan mencetuskan gelombang biru untuk negeri-negeri.

“Insya-Allah, kita akan menghadapi PRN di Negeri Sembilan dalam waktu terdekat dan selepas itu ke Melaka serta PRU16,” katanya pada sidang media di ibu pejabat UMNO Johor, di sini hari ini.

Presiden UMNO itu berkata, BN komited melaksanakan segala aku janji yang terkandung dalam manifesto demi memastikan kebajikan rakyat Johor terus terbela.

Menurutnya, kepimpinan BN di peringkat pusat akan memantau prestasi kerajaan negeri yang bakal dibentuk selain memastikan setiap isu rakyat ditangani secara berkesan bagi merealisasikan sasaran menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030.

“Kami di ibu pejabat BN dan UMNO Malaysia akan memantau prestasi selanjutnya, menyantuni serta menangani permasalahan rakyat agar Johor menjadi negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya.

Zahid turut menyifatkan kemenangan itu sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menurutnya berjaya memacu pentadbiran negeri dengan cemerlang sepanjang lebih empat tahun lalu.

“Tentunya ia dilatarbelakangi oleh sebuah pentadbiran yang cekap untuk negeri Johor dengan kemajuan dan kejayaan.

“Ini adalah rekod terbaik yang telah diperlihatkan oleh BN sepanjang empat tahun, tiga bulan dan 19 hari sebelum ini Datuk Onn Hafiz mentadbir Negeri Johor,” katanya.

Beliau pada masa sama memberi jaminan kerajaan negeri baharu yang bakal dibentuk akan mentadbir dengan lebih baik dan terus mengutamakan kepentingan rakyat.

Mengulas hubungan BN dengan rakan dalam Kerajaan Perpaduan, Timbalan Perdana Menteri itu menegaskan pembentukan kerajaan negeri Johor tidak akan menjejaskan kerjasama sedia ada di peringkat Persekutuan.

“Saya yakin dengan pembentukan kerajaan negeri atas perkenan Tuanku, BN tetap menjalin kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

“Kerjasama ini juga kita yakin akan dapat membuahkan hasil bukan sahaja untuk kerajaan negeri tetapi Kerajaan Persekutuan.

“Namun kita harapkan agar segala perancangan yang ada dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan perancangan lain akan dapat diterjemahkan pelaksanaannya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button