5,944 laporan penipuan dalam talian direkodkan dalam empat bulan pertama 2026
JOHOR BAHRU – Sebanyak 5,944 laporan polis berkaitan penipuan dalam talian direkodkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, dengan penipuan e-dagang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,566 kes.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata data Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) itu menunjukkan ancaman jenayah penipuan dalam talian kini berada pada tahap yang amat membimbangkan.
Beliau berkata, penipuan telekomunikasi pula merekodkan 1,369 kes, termasuk panggilan palsu atau mesej berunsur penipuan.
“Adakah kita akan gubal Akta baharu untuk membendung jenayah dalam talian?” katanya ketika berucap pada Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Negeri Johor di Dewan Serbaguna Sri Tebrau, di sini, hari ini.
Baca juga : Lebih 127,000 kandungan scam dipadam, Facebook dan TikTok tertinggi
Menjawab persoalan itu, Teo berkata, Malaysia sudah bergerak amat maju dari segi perundangan dengan pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) pada Disember 2024 serta penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
“Malah, bagi memastikan platform-platform seperti Meta dan penyedia perkhidmatan lain lebih bertanggungjawab, kita tambah penguatkuasaan menerusi Kod Perlindungan Kanak-kanak (Child Protection Code – CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code – RMC) di bawah kerangka ini,” katanya.
Beliau berkata, rangka undang-undang sedia ada amat kukuh untuk mengawal selia platform demi keselamatan rakyat.
Namun, katanya, cabaran utama adalah sejauh mana platform berkenaan mahu memberikan kerjasama dan mematuhi undang-undang Malaysia, walaupun mengetahui tindakan tegas serta denda kewangan berat menanti sekiranya berlaku pelanggaran.
Dalam pada itu, Teo berkata, Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah proaktif menerusi dua pendekatan utama bagi membendung ancaman berkenaan.
Katanya, inisiatif ‘Tunggu16’ mewajibkan kawalan ibu bapa (parental controls) bagi aktiviti akaun media sosial kanak-kanak di bawah umur 16 tahun bagi melindungi mereka daripada pendedahan kepada pemangsa siber, eksploitasi dan penipuan dalam talian.
“Selain itu, Kempen Internet Selamat yang dilaksanakan sejak Januari 2025 merupakan usaha berskala nasional bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya anak-anak dan keluarga, mengenai kepentingan keselamatan Internet serta melindungi mereka daripada ancaman dan jenayah siber,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 13,450 program dilaksanakan di seluruh negara sehingga 31 Julai lalu, membabitkan 2,190,104 peserta terdiri daripada murid, guru, komuniti dan pelbagai pihak berkepentingan.
Teo berkata, angka berkenaan membuktikan usaha memperkukuh keselamatan digital masyarakat sedang digerakkan secara meluas dan berterusan.
Bagaimanapun, katanya, secanggih mana sekalipun undang-undang dan sistem keselamatan yang dibina kerajaan, benteng terkuat kekal berada di rumah dan sekolah.
“Ibu bapa tidak perlu menjadi pakar IT untuk melindungi anak-anak. Cukuplah sekadar menjadi pendengar yang peka dan hadir dalam kehidupan digital mereka.
“Tanyakan aplikasi yang mereka gunakan, siapa rakan dalam talian mereka, dan bina suasana komunikasi terbuka di mana anak-anak tidak takut untuk mengadu sekiranya mereka diganggu atau diancam,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan masyarakat perlu beralih daripada sekadar ‘melarang’ kepada ‘mendidik dan membimbing’ bagi melahirkan generasi celik digital yang mempunyai ketahanan moral serta kebijaksanaan menilai risiko.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







