BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kandungan sensitif: MCMC gariskan empat prinsip perlu ditangani media

CYBERJAYA – Pengamal media disaran berpegang kepada empat prinsip utama dalam mengendalikan kandungan sensitif bagi memastikan kandungan dan pelaporan dilakukan secara beretika dan bertanggungjawab.

Perkara itu ditegaskan Ketua Pegawai Eksekutif Content Forum, Mediha Mahmood pada Sesi Taklimat Media Berkaitan Garis Panduan Kandungan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini.

Menurut beliau, empat prinsip tersebut merangkumi keperluan untuk hanya menerbitkan kandungan yang boleh dijustifikasikan dari sudut kepentingan awam; meminimumkan kemudaratan kepada audiens; melindungi maruah mangsa serta mengelakkan risiko pemberitahuan awal kepada keluarga.

“Jika sesuatu kandungan tidak mempunyai justifikasi jelas, ia tidak sepatutnya diterbitkan. Keutamaan perlu diberikan kepada nilai kemanusiaan berbanding keinginan meraih perhatian audiens,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa ‘bilik berita’ perlu menggunakan langkah kawalan seperti amaran awal kandungan dan mengelakkan paparan pratonton imej bersifat grafik bagi mengurangkan kesan emosi kepada orang ramai.

Related Articles

Dalam masa sama, aspek perlindungan maruah mangsa juga perlu diberikan perhatian serius, khususnya melibatkan kanak-kanak, selain memastikan idetiti tidak didedahkan sebelum pengesahan pemberitahuan kepada waris dibuat.

“Zaman media sosial yang pantas ini, kita banyak mendengar kes-kes di mana waris mangsa menerima berita kemalangan ahli keluarga dari sebaran awam sebelum dihubungi oleh pihak berkuasa.

“Ada masa pakaian, kenderaan dan penceritaan yang terperinci cukup untuk waris mengetahui mangsa adalah ahli keluarga mereka.

“Ini semestinya menimbulkan kesan trauma yang tidak sepatutnya,” kata beliau.

Mediha Mahmood
Wakil agensi media bergambar pada Sesi Taklimat Media Berkaitan Garis Panduan Kandungan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini.

Mengulas cabaran era digital, Mediha berkata, kandungan yang diterbitkan berisiko disebarkan semula oleh algoritma platform, sekali gus meluaskan capaian di luar konteks asal dan berpotensi mencetuskan trauma berulang.

Beliau juga mengingatkan bahawa penggunaan teknik penyuntingan seperti kabur atau piksel tidak lagi memadai kerana teknologi kecerdasan buatan (AI) berupaya mengenal pasti semula identiti melalui pelbagai petunjuk visual.

Sehubungan itu, beliau menegaskan setiap keputusan editorial perlu dibuat dengan teliti, mengambil kira risiko jangka panjang serta sensitiviti masyarakat.

Forum tersebut diadakan bagi memberi panduan kepada organisasi media dalam mengurus kandungan berkaitan kemalangan, tragedi dan bencana secara lebih berhemah dan beretika.

Sesi yang disertai oleh agensi media utama itu turut dihadiri oleh Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.

Kepantasan perkongsian melalui media sosial oleh ‘wartawan tidak bertauliah’ juga dikenal pasti antara punca kandungan bersifat grafik semakin berleluasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button