Kempen Internet Selamat MCMC catat 13,450 program, tarik 2.19 juta peserta
JOHOR BAHRU – Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah inisiatif Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan sejak Januari 2025 mencatatkan 13,450 program di seluruh negara sehingga 31 Julai lalu, dengan penyertaan mencecah 2,190,104 orang.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penyertaan itu membabitkan murid, guru, komuniti dan pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan digital.
Beliau berkata, pencapaian berkenaan membuktikan usaha memperkukuh keselamatan digital masyarakat sedang digerakkan secara meluas dan berterusan.
“Namun, secanggih mana sekalipun undang-undang dan sistem keselamatan yang dibina oleh kerajaan, benteng terkuat kekal berada di rumah dan di sekolah,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PIBG Internet Selamat 2026 Peringkat Negeri Johor di Dewan Serbaguna Sri Tebrau, di sini, hari ini.
Baca juga : 5,944 laporan penipuan dalam talian direkodkan dalam empat bulan pertama 2026
Teo berkata, daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 5,946 program dilaksanakan di sekolah rendah kebangsaan membabitkan 262,399 peserta.
Katanya, sekolah rendah kebangsaan Tamil pula merekodkan 524 program dengan 8,535 peserta, manakala sekolah rendah kebangsaan Cina sebanyak 1,285 program melibatkan 38,463 peserta.
“Sekolah Menengah Kebangsaan pula sebanyak 2,416 program telah dilaksanakan melibatkan 174,266 peserta,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 68 program dilaksanakan di institusi pengajian tinggi (IPT), membabitkan 25,148 peserta, manakala 67 program di kolej termasuk Tingkatan Enam, vokasional dan kolej membabitkan 4,646 peserta.
“Enam program turut dilaksanakan di Institusi Pendidikan Guru (IPG) dengan penyertaan 1,694 peserta. Program Awam atau Komuniti pula sebanyak 3,138 program telah dilaksanakan melibatkan 1,674,953 peserta,” katanya.

Dalam pada itu, Teo berkata, internet kini bukan lagi pilihan sebaliknya sudah menjadi kebiasaan untuk pendidikan, perhubungan dan hiburan.
Namun, katanya, kemudahan berkenaan turut membawa ancaman nyata seperti buli siber, eksploitasi dan jenayah penipuan dalam talian.
Sehubungan itu, beliau berkata, ibu bapa tidak perlu menjadi pakar teknologi maklumat untuk melindungi anak-anak, sebaliknya cukup dengan menjadi pendengar yang peka dan sentiasa hadir dalam kehidupan digital mereka.
“Tanyakan aplikasi yang mereka gunakan, siapa rakan dalam talian mereka, dan bina suasana komunikasi terbuka di mana anak-anak tidak takut untuk mengadu sekiranya mereka diganggu atau diancam,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan masyarakat perlu beralih daripada sekadar ‘melarang’ kepada ‘mendidik dan membimbing’ bagi melahirkan generasi celik digital yang mempunyai ketahanan moral dan kebijaksanaan menilai risiko.
Teo berkata, Kementerian Komunikasi menerusi MCMC turut mengambil langkah proaktif menerusi inisiatif ‘Tunggu16’.
Katanya, inisiatif itu mewajibkan kawalan ibu bapa (parental controls) bagi aktiviti akaun media sosial kanak-kanak di bawah umur 16 tahun untuk melindungi mereka daripada pendedahan kepada pemangsa siber, eksploitasi dan penipuan dalam talian.
Beliau berkata, PIBG mempunyai jaringan luas dan pengaruh besar di peringkat akar umbi, sekali gus mampu membantu memastikan mesej keselamatan dalam talian disampaikan dengan lebih dekat, berterusan dan berkesan kepada ibu bapa serta murid.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








