Murray Hunter mohon maaf kepada MCMC
CYBERJAYA – Pengulas politik, Murray Hunter hari ini membuat permohonan maaf susulan penerbitan beberapa artikel tulisannya mengenai Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi (MCMC), tahun lepas.
Hunter berkata, beliau mengakui komen dan artikel yang diterbitkan di platform Substack, portal Eurasia dan akaun Twitter (sekarang X) miliknya di antara April dan November tahun lalu itu telah menimbulkan banyak salah faham.
“Saya mengakui bahawa komen dan artikel saya mengenai MCMC dan pihak-pihak berkaitannya boleh ditafsirkan sebagai tidak tepat, mengelirukan serta telah menimbulkan salah faham.
“Oleh itu, saya memohon maaf dan berasa kesal sekiranya tindakan tersebut telah menyebabkan sebarang kerosakan kepada MCMC dan/atau pihak-pihak berkaitan, dan dengan ini saya menarik balik sepenuhnya semua komen serta artikel tersebut dalam keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam kenyataan sama, Hunter turut memberitahu, permohonan maaf itu merupakan Perjanjian Penyelesaian yang berjaya dicapai menerusi perbincangan dengan pihak MCMC.
Tahun lepas, MCMC telah membuat laporan polis di Malaysia dan Thailand berhubung penerbitan tersebut, dan mendakwa ia mengandungi tuduhan serius yang tidak berasas, mengelirukan orang awam serta menjejaskan reputasinya.
Pada 16 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi di Shah Alam memutuskan bahawa Hunter bertanggungjawab atas fitnah dalam satu saman sivil yang difailkan oleh MCMC.
Beberapa minggu sebelum itu, Hunter telah ditahan oleh pihak berkuasa Thailand ketika beliau sedang bersiap untuk meninggalkan negara itu bagi satu perjalanan peribadi ke Hong Kong.
Warganegara Australia itu, yang kini tinggal di Thailand, dikenali dengan penulisan kritikalnya mengenai situasi politik Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








