BERITA SEMASAPOLITIK

BERSATU mampu cipta kejutan di PRN Johor – Azmin

MUAR – Rekod kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menerajui negara sewaktu pandemik Covid-19, diyakini mampu menjadi kekuatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk mencipta kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, seluruh ahli dan jentera parti perlu terus bersemangat serta memperkukuhkan gerak kerja bagi memastikan Perikatan Nasional (PN) kembali memperoleh mandat rakyat.

Menurut beliau, kepimpinan Muhyiddin telah terbukti mampu mentadbir negara dalam situasi yang mencabar.

“Kita lihat kepimpinan Tan Sri Muhyiddin sudah teruji, progresif dan sederhana bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan semua rakyat.

“Beliau antara tokoh negara yang mendapat pengiktirafan dunia terutama dalam melakukan pengurusan negara ketika berdepan krisis kesihatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRN Johor Ke-16 di Bakri, di sini malam ini.

Mohamed Azmin berkata, kemampuan Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU mentadbir negara dan negeri menyebabkan ramai pihak berasa bimbang sekiranya rakyat Johor sekali lagi memberikan mandat kepada PN.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh ahli dan jentera BERSATU supaya tidak mudah patah semangat, sebaliknya bekerja keras bagi memastikan parti mencatat kemenangan pada PRN Johor.

Sementara itu, Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal menggesa semua ahli parti terus setia kepada kepimpinan sedia ada serta memberikan sokongan penuh kepada calon yang bakal diketengahkan.

“Setiap jentera perlu menyantuni pengundi di semua kawasan, kita yakin boleh mendapatkan kemenangan,” kata bekas Menteri Besar Johor itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button