Suspek ditahan bawa syabu di Brunei dalam perjalanan ke Sabah
KUALA LUMPUR – Suspek yang ditahan bersama lebih 100 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM5 juta di sempadan Brunei-Miri, Sarawak, 31 Oktober lalu disahkan warga tempatan yang dipercayai dalam perjalanan menyeludup bahan itu ke Sabah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek lelaki berusia 46 tahun yang berasal dari Miri itu turut didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau, lapor NST.
Menurutnya, pihak polis menerima maklumat berhubung tangkapan berkenaan daripada Biro Kawalan Narkotik (BKN) Brunei selepas suspek ditahan Jabatan Kastam Brunei di Pos Kawalan Sungai Tujoh ketika cuba memasuki negara itu dari Miri.
“Siasatan awal berdasarkan maklumat BKN mendapati suspek dipercayai menggunakan Brunei sebagai laluan transit sebelum merancang untuk memasuki semula Malaysia.
“Suspek dijangka melalui Kuala Belait, Seria, Tutong dan Bandar Seri Begawan sebelum menuju ke Temburong melalui Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien.
“Dia kemudian dirancang memasuki semula Sarawak menerusi pintu sempadan Labu-Mengkalap dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Sabah melalui laluan Merapok-Sindumin,” katanya, hari ini.
Hussein menjelaskan, rampasan dadah seberat kira-kira 100kg itu dianggarkan bernilai RM5 juta dan pihaknya kini memperkukuh kerjasama risikan bersama BKN bagi mengesan rantaian sindiket terlibat.
“JSJN akan meneruskan penyelarasan risikan dan kerjasama rapat dengan BKN untuk mendapatkan maklumat mengenai sumber bekalan dadah terbabit.
“Kerjasama ini juga bertujuan mengenal pasti kemungkinan penglibatan individu lain mahupun rangkaian sindiket pengedaran dadah yang mempunyai kaitan di Malaysia,” jelasnya lagi.
Terdahulu, pihak berkuasa Brunei melaporkan kejayaan merampas 102.19kg syabu yang disembunyikan di dalam 100 bungkusan teh di Pos Kawalan Sungai Tujoh di sempadan Brunei-Miri.
Selain syabu, pihak berkuasa Brunei turut menyita empat biji pil Erimin 5, wang tunai pelbagai mata wang merangkumi RM1,180, SGD10, BND10 serta 500 baht, dua buah telefon bimbit dan sebuah kenderaan yang digunakan suspek.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |












