Komander penjara digantung tugas susulan dakwaan layanan istimewa buat tahanan VIP
BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand menggantung tugas komander Penjara Reman, di sini susulan dakwaan banduan warga China berprofil tinggi diberikan akses kepada wanita di dalam sel peribadi serta beberapa keistimewaan lain.
Menurut AFP, skandal itu tercetus minggu lalu selepas media tempatan melaporkan, dua wanita warga China dibenarkan memasuki penjara yang menempatkan lebih 4,000 tahanan lelaki itu untuk melawat banduan, didakwa bagi tujuan perkhidmatan seks, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai siapa yang membenarkan kemasukan mereka.
Kementerian Kehakiman dalam satu kenyataan kelmarin berkata, susulan skandal berkenaan, komander tersebut dan setiausahanya serta seorang pegawai kanan jabatan koreksional digantung tugas serta-merta.
Menteri Kehakiman, Rutthapon Naowarat berkata, kes yang melibatkan pegawai penjara yang didakwa “memihak kepada banduan warga China” sedang “ditangani berdasarkan bukti”.
Dalam kenyataan sebelum ini, kementerian berkata, pemeriksaan di penjara itu turut menemukan “salah laku dan barangan terlarang”, termasuk kondom, tembakau dan alkohol.
“Dua wanita China (turut) ditemui berseorangan bersama seorang banduan di dalam sebuah sel yang sedang diubah suai untuk dijadikan bilik tetamu bagi pegawai kanan.
“Hasil siasatan awal termasuk kotak kondom, kesan cecair badan pada tisu dan tompokan menyerupai air mani, yang telah dihantar kepada penyiasat forensik,” kata kenyataan itu, kenyataan minggu lalu.
Walaupun rakaman CCTV telah dipadamkan, sebahagian rakaman yang berjaya diperoleh menunjukkan dua wanita itu memasuki kawasan penjara, tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







