UPTM satukan bahasa, budaya, diplomasi menerusi Language Day 2026
KUALA LUMPUR – Penguasaan bahasa asing bukan sekadar membolehkan seseorang berkomunikasi dengan masyarakat berbeza, malah membuka ruang memahami budaya dan membina hubungan merentas komuniti.
Atas kesedaran itu, Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) menerusi Pusat Pengajian Islam, Umum dan Bahasa (CIGLS) menganjurkan Language Day 2026 yang menghimpunkan pembelajaran bahasa, silang budaya dan keterlibatan antarabangsa menerusi tiga bahasa utama dunia iaitu Mandarin, Arab dan Perancis.
Program bertemakan “Nĭ Hǎo • Marhaban • Bonjour: Bridging Cultures, Amazing Communities” itu berlangsung di kampus UPTM dengan sokongan Alliance Francaise de Kuala Lumpur, Kong Zi Institute Universiti Malaya (KZIUM) dan Al Motahida Education Group.

Penganjuran Language Day 2026 bertujuan memperkukuh penguasaan ketiga-tiga bahasa berkenaan dalam kalangan pelajar, selain meningkatkan kemahiran komunikasi antarabangsa serta kesedaran terhadap kepelbagaian budaya.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Zahari Aziz dan disaksikan oleh Naib Canselor UPTM, Profesor Dr Sharifah Syahirah binti Sy Shiekh.
Hadir sama, Timbalan Pengarah 1 Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA, Nazrul Hisham Mohamad Tahir; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPTM, Profesor Madya Dr Syamsul Fozy Osman; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr Muhamad Nizam Jali; dan Naib Presiden Kanan Kumpulan MARA Corporation mewakili Group Chief Executive Officer (GCEO), Taha Rusydi Mohd Nazri.
Turut memeriahkan program ialah wakil dari Kedutaan Yemen, Mohammed Salem Bawazir, Penolong Kaunselor Kebudayaan (Kewangan) dan Dr Bassam Al Qatab di Bahagian Hal Ehwal Akademik.

“Berbeza dengan pembelajaran bahasa yang lazimnya berpusat di dalam bilik kuliah, Language Day 2026 mengaplikasikan konsep experiential learning atau pembelajaran berasaskan pengalaman bagi memberi peluang kepada peserta menggunakan bahasa secara langsung.
“Antara aktiviti yang dianjurkan termasuk Language Treasure Hunt, Language Booths, pameran kebudayaan, permainan dan kuiz bahasa, Language Performance serta pertandingan bahasa dalam suasana pembelajaran yang lebih santai dan interaktif.
“Pendekatan itu bukan sahaja memberi ruang kepada peserta mempraktikkan bahasa yang dipelajari dalam situasi sebenar, malah membantu membina keyakinan diri, kreativiti, kemahiran komunikasi, kepimpinan dan semangat kerja berpasukan,” kata UPTM dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Language Day 2026 turut mengetengahkan elemen University Social Responsibility (USR) dengan membuka penyertaan kepada komuniti di luar kampus.
Pelajar UPTM bukan sahaja mengambil bahagian sebagai peserta, malah turut berperanan sebagai ahli jawatankuasa pelaksana dan fasilitator sepanjang program.
Program berkenaan turut melibatkan pelajar daripada empat buah sekolah menengah kebangsaan dan sekolah antarabangsa di sekitar Lembah Klang, selain guru bahasa serta komuniti setempat.
Penglibatan pelbagai pihak itu dilihat dapat memperluas perkongsian ilmu berkaitan bahasa dan budaya, meningkatkan pemahaman antara budaya serta mengukuhkan hubungan antara universiti dengan masyarakat.

Secara keseluruhannya, Language Day 2026 berjaya menarik penyertaan lebih 366 peserta terdiri daripada pelajar UPTM dan pelajar sekolah jemputan.
Penganjuran program itu mencerminkan usaha UPTM menyediakan pengalaman pendidikan yang melangkaui pembelajaran akademik dengan memberi ruang kepada pelajar membina kemahiran komunikasi, memahami kepelbagaian budaya serta berinteraksi dengan komuniti yang lebih luas.
Melalui pendekatan yang menghubungkan bahasa, budaya, pendidikan dan masyarakat, UPTM terus memperluas peranan institusi pengajian tinggi dalam pembangunan pelajar serta pelaksanaan tanggungjawab sosial universiti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








