BERITA SEMASA

UPTM perkasakan peranan wanita luar bandar di pentas ASEAN

KUALA LUMPUR – Peranan Malaysia sebagai peneraju dalam agenda pemerkasaan wanita dan digitalisasi di rantau ASEAN terus menyerlah apabila Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) menjadi hos bersama kepada ASEAN+3 Forum on Women and Digitalisation 2025 yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini

Bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, forum berprestij itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Institut Kemajuan Desa (INFRA), menandakan komitmen negara dalam memperkasa wanita luar bandar melalui keterangkuman digital dan pembangunan mampan.

Naib Canselor UPTM, Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy. Shiekh berkata, penglibatan universiti itu dalam acara serantau berprestij berkenaan membuktikan kesungguhan UPTM memposisikan diri sebagai institusi pendidikan tinggi berdaya saing di peringkat ASEAN dan Asia.

“Melalui kolaborasi dengan KKDW dan INFRA, UPTM dapat mempamerkan kepakaran akademik dan penyelidikan yang menyokong pembangunan mampan komuniti serantau,” katanya.

Forum yang diadakan dari 7 hingga 9 Oktober lalu bertemakan “Empowering Rural Women through Digital Inclusion for Sustainable Futures” memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita luar bandar melalui digitalisasi.

Antara topik yang dibincangkan ialah literasi digital, peluang e-dagang, inovasi teknologi dan kewangan digital sebagai pemacu pembangunan komuniti serta pemberdayaan ekonomi wanita.

Forum yang diadakan sekali dalam sedekad itu turut menampilkan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsaan UPTM, Prof. Ts. Dr. Zahrah Yahya; Fellow Profesor UPTM, Prof. Datuk Dr. Rashila Ramli serta Naib Canselor sendiri sebagai panel dan moderator sesi forum.

Terdahulu, majlis makan malam penutup program tersebut yang diadakan di ibu negara diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Pro-Canselor UPTM, Datuk Rubiah Wang.

Bertemakan “ASEAN Cultural Harmony Night: Celebrating Traditions, Strengthening Ties”, majlis berkenaan menghimpunkan lebih 200 delegasi antarabangsa dari negara ASEAN dan rakan dialog ASEAN+3 iaitu China, Jepun dan Korea Selatan.

Ia merupakan kemuncak kepada siri forum dan dialog anjuran KKDW dan INFRA dengan UPTM sebagai rakan pelaksana strategik.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan silat, tarian tradisional pelbagai etnik dan nyanyian lagu-lagu ikonik ASEAN, disertai pelajar Kelab Tarian AKASIA UPTM.

Para delegasi turut mengenakan busana tradisional masing-masing seperti Batik, Kebaya, Ao Dai dan Barong Tagalog, melambangkan semangat persahabatan dan kepelbagaian budaya rantau ini.

UPTM menyatakan penghargaan kepada KKDW dan INFRA atas kepercayaan menjadi hos bersama acara berimpak tinggi itu yang dilihat mampu memperkukuh jaringan strategik akademik dan profesional di peringkat serantau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button