Penutupan jalan sempena Sidang Kemuncak ASEAN hanya pada waktu tertentu – Fahmi
PUTRAJAYA – Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung minggu depan tidak akan melibatkan penutupan jalan sepenuhnya, sebaliknya hanya akan dilakukan pada waktu tertentu di beberapa laluan terlibat.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebahagian besar tempoh penutupan dilakukan secara berperingkat dan laluan berkenaan akan dibuka semula selepas digunakan, bukan ditutup selama 24 jam.
“Dia bukan ‘lockdown’. Contohnya, ada Ketua Negara melalui kawasan lapangan terbang menuju ke Kuala Lumpur, maka laluan itu akan ditutup sementara waktu.
“Kebanyakan daripada tempoh itu adalah secara berperingkat (ditutup). Setelah laluan itu selesai digunakan, ia akan dibuka semula, bukan 24 jam,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Enam lebuh raya dan 25 jalan utama akan ditutup secara berperingkat bermula 26 hingga 28 Oktober ini, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Enam lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya ELITE (KLIA–Putrajaya); Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) (Subang–Jalan Duta); Lebuhraya Koridor Guthrie (GUTHRIE); Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) (Sungai Buloh–Jalan Duta); Lebuhraya Maju (MEX); dan Lebuhraya KL–Seremban (Sungai Besi–Pusat Bandar).
Terdahulu, media melaporkan pusat bandar raya Kuala Lumpur akan ditutup sepenuhnya apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 minggu depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















