
MCMC kenal pasti individu buat hantaran palsu mengenai Majlis Tilawah al-Quran
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenalpasti identiti individu terlibat dalam satu hantaran yang tidak benar mengenai Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran 2024.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, individu terlibat akan dipanggil dan tindakan pengesanan sedang dilakukan.
“Tindakan menyebar fitnah ini sangat jahat bukan sahaja terhadap kerajaan tapi juga membabitkan agama Islam dan institusi raja.
“Ini peringatan kepada semua, sekali lagi saya sebut seperti kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan pihak MCMC untuk tidak memasukkan bahan atau komen menyentuh 3R (agama, bangsa, raja) kerana kita sudah diminta bertindak lebih tegas oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata sedemikian pada Majlis Berbuka Puasa bersama Agensi Penguatkuasaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di ibu negara.
Kata Fahmi, majlis tersebut merupakan usaha dalam menjalinkan hubungan silaturahim antara MCMC dengan Agensi Penguatkuasaan untuk bekerjasama dengan lebih rapat pada masa hadapan.
Sebelum ini, tular hantaran yang dimuat naik sejumlah pemilik media sosial yang memburukkan kerajaan dengan mendakwa tiada Majlis Tilawah al-Quran diadakan tahun ini.
Susulan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memuat naik hantaran berkenaan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 23 hingga 28 Mei nanti di Kuantan, Pahang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








