JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita OKU ditemukan maut dengan kesan tikaman pada betis

KUALA KANGSAR – Seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) lembam ditemukan meninggal dunia dengan kesan tikaman pada betis di kediamannya di Kampung Cheh Hilir, Kati, di sini hari ini.

Mangsa, Nor Ainon Omar, 49, ditemukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di rumah kampung papan yang didiaminya bersama suami dan tiga anak.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Cheh Hilir, Nur Halim Abdul Hamid berkata, beliau antara individu terawal tiba di lokasi selepas menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2 petang.

Katanya, mangsa ketika itu sudah tidak sedarkan diri dan mempunyai kecederaan dipercayai akibat tusukan objek tajam pada betis.

“Ketika kejadian, suami mangsa berusia 43 tahun turut berada di rumah. Saya difahamkan, dia meminta bantuan penduduk, sebelum saya menghubungi polis,” katanya memetik laporan BH Online.

Tinjauan di lokasi mendapati anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di rumah berkenaan sebelum mayat mangsa dibawa keluar menggunakan kenderaan polis.

Terdapat juga kesan darah yang menitis melalui celahan lantai papan rumah berkenaan ke tanah.

Adik ipar mangsa, Suliana Jalaluddin, 37, berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 2.16 petang menerusi mesej bergambar yang dihantar abangnya, suami mangsa, dalam kumpulan WhatsApp keluarga.

Menurutnya, keluarga itu dikenali penduduk setempat dan sering mendapat perhatian jawatankuasa kampung kerana bukan sahaja mangsa, malah ketiga-tiga anak pasangan berkenaan juga OKU.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun ketika dihubungi berkata, pihaknya akan memaklumkan hasil siasatan dalam masa terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button