Dua rentung dalam Perodua Bezza dihempap lori tangki
TEMERLOH – Pemandu dan penumpang sebuah Perodua Bezza maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap lori tangki membawa 32,000 liter petrol dan diesel sebelum kedua-dua kenderaan itu terbakar di Kilometer 9, Jalan Temerloh-Triang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, identiti kedua-dua mangsa masih belum dikenal pasti berikutan keadaan mereka yang rentung dan kenderaan dinaiki turut remuk selepas dihempap lori berkenaan.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.30 petang ketika lori tangki terbabit dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Temerloh.
“Apabila sampai di lokasi kejadian lori tangki berkenaan dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
“Pada masa sama sebuah kereta dipercayai jenis Perodua Bezza bertembung di sisi tangki lori berkenaan dan kejadian melibatkan kebakaran dua kenderaan berkenaan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata, pemandu lori berusia 37 tahun berjaya menyelamatkan diri namun mengalami kecederaan ringan.
Katanya, pemandu dan penumpang kereta dipercayai maut selepas rentung dalam kebakaran itu.
“Jumlah mangsa dan butiran mangsa di dalam kereta tidak dapat dipastikan lagi kerana keadaan kereta yang remuk dan terbakar,” katanya.
BACA JUGA:
Lori tangki terbalik hempap kereta sebelum terbakar
Mohd Nasyim berkata, operasi memadamkan kebakaran mengambil masa berikutan lori tangki terbabit membawa muatan bahan api petrol dan diesel.
“Api baru sahaja berjaya dipadamkan, kerana ia mengambil masa dipadamkan kerana melibatkan bahan api petrol dan diesel,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk proses bedah siasat.
Dalam pada itu, pemandu lori tangki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








