BERITA SEMASA

Konvokesyen PBS ke-15 raikan 6,862 graduan PolyCC Zon Tengah

TANJONG MALIM – Politeknik Banting Selangor (PBS) meraikan para graduannya sempena Konvokesyen Politeknik Banting Selangor Kali Ke-15 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), hari ini.

Konvokesyen itu merupakan sebahagian daripada Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) Zon Tengah Tahun 2026 dengan PBS mengambil bahagian pada Sidang 7 yang menghimpunkan 6,862 graduan terdiri daripada 4,581 graduan politeknik dan 2,281 graduan kolej komuniti.

Para graduan dari Politeknik dan Kolej Komuniti yang diraikan dalam Konvokesyen ke 15 di UPSI, hari ini.

Pengarah PBS, Ibrahim Burhan berkata, graduan TVET mempunyai peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan industri, inovasi dan negara.

“Graduan TVET merupakan pemilik kemahiran berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada industri, inovasi dan pembangunan negara,” katanya.

 

Graduan TVET mempunyai peranan penting dalam menyumbang kepada pembangunan industri, inovasi dan negara.

Beliau turut menyeru graduan supaya terus membudayakan pembelajaran sepanjang hayat kerana konvokesyen bukanlah pengakhiran kepada perjalanan pendidikan.

“Konvokesyen bukan titik akhir, sebaliknya permulaan kepada rangkaian kejayaan seterusnya,” katanya.

Majlis disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan), Datuk Saipolyazan M Yusop, yang menekankan kepentingan sinergi antara PolyCC, pihak industri dan komuniti dalam memperkukuh pendidikan TVET.

Antara kisah kejayaan yang diketengahkan ialah Ahnaf Faisal Muslan dan Muhammad Fakhrusy Syakirin Hebat Sharumafar yang mengikuti Program Latihan Kemahiran Industri – East Coast Rail Link (PLKI-ECRL) di Liuzhou Railway Vocational Technical College (LRVTC), China.

Program itu memberi pendedahan kepada kedua-dua graduan terhadap teknologi, operasi dan penyelenggaraan sistem rel di peringkat antarabangsa.

Turut mencuri perhatian ialah kisah Muhammad Nazhan Nazli, 23, graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal yang berjaya menamatkan pengajian selepas pengajiannya tertangguh selama tiga semester akibat menjalani rawatan kanser tahap tiga.

Nazhan disahkan menghidap Synovial Sarcoma of Larynx ketika menjalani latihan industri pada semester keenam dan perlu menjalani rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Dengan sokongan keluarga, rakan-rakan, pensyarah dan pihak PBS, beliau akhirnya berjaya menamatkan pengajian sebelum disahkan bebas daripada kanser pada 26 September 2024.

“Jangan pernah berhenti berharap dan berusaha selagi nafas masih dikandung badan. Setiap ujian yang dihadapi pasti ada jalan penyelesaiannya,” ujarnya.

Kecemerlangan PBS turut diperlihatkan menerusi pencapaian akademik, kepimpinan, penyelidikan dan inovasi, antaranya Nor Muhammad Muzhaffar Shah Zahalan yang memperoleh PNGK 3.98 serta pelbagai anugerah dalam bidang akademik, kepimpinan dan inovasi.

Selain itu, projek inovasi pelajar PBS turut mencatat kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk meraih Pingat Emas di iCompEx 2025, Platinum Award dan Gold Medal dalam i-INNOLED 2024 serta Pingat Emas di SIPPKO’25.

Pencapaian tersebut memperlihatkan keupayaan graduan PBS bukan sahaja dalam akademik, malah dalam kepimpinan, pengalaman industri, inovasi dan penyelidikan.

Bagi tahun 2025, kadar kebolehpasaran graduan POLYCC direkodkan sebanyak 98.5 peratus bagi politeknik dan 98.8 peratus bagi kolej komuniti, disokong jaringan strategik bersama 23,580 rakan industri.

PBS merakamkan tahniah kepada seluruh graduan serta penghargaan kepada ibu bapa, keluarga, pensyarah, rakan industri dan semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button