Pelancong Afghanistan lemas ketika aktiviti selam skuba di Pulau Tioman
ROMPIN – Percutian seorang pelancong warga Afghanistan ke Pulau Tioman berakhir tragedi apabila dia lemas ketika melakukan aktiviti selam skuba bersama anak perempuannya di perairan pulau itu, hari ini.
Mangsa, Mohamed Seyar Musazay, 55, yang menetap di Amerika Syarikat, tiba di Pulau Tioman untuk bercuti selama seminggu bermula Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama anak perempuannya keluar melakukan aktiviti selam skuba bersama seorang jurulatih kira-kira pukul 11 pagi.
Menurutnya, mangsa berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang masalah sepanjang 20 minit melakukan selaman pada kedalaman enam meter.
“Ketika aktiviti selaman hampir selesai, jurulatih membantu anak mangsa naik ke permukaan air terlebih dahulu dari kedalaman tiga meter.
“Jurulatih kemudian melihat mangsa terkapai-kapai untuk naik ke permukaan air pada jarak kira-kira tiga meter daripadanya. Sebaik mendekati mangsa, didapati alat pernafasan di mulutnya telah tercabut dan mangsa tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharif Shai berkata, mangsa kemudian dibawa ke pantai sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Kampung Tekek menggunakan bot penduduk.
“Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 12.40 tengah hari,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa dari Pulau Tioman ke Teluk Gading menggunakan bot polis marin pada pukul 4.50 petang sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








