BERITA SEMASA

Bapa, anak ditemukan lemas di pantai tapak perkhemahan

KOTA TINGGI – Kegembiraan sebuah keluarga bertukar tragedi apabila seorang bapa dan anak lelakinya ditemukan lemas di laut berhampiran sebuah tapak perkhemahan di Kampung Punggai, Pengerang, di sini, semalam.

Kedua-dua mangsa, Mohammad Nizam Zainal, 33, dan anaknya, Muhammad Zamri Mikhail Mohammad Nizam, 8, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke darat oleh orang awam.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Aldron Dey Judih@Judeh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.10 malam.

Menurutnya, enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan pacuan empat roda Hilux kemudian digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di tempat kejadian, anggota mendapati dua mangsa, seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki, lemas serta tidak sedarkan diri.

“Kedua-duanya telah dibawa ke darat oleh orang awam sebelum dihantar ke klinik untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau berkata, Muhammad Zamri dihantar ke Klinik Kesihatan Bayu Damai menggunakan kenderaan keluarga, manakala bapanya dibawa ke klinik sama dengan menaiki Hilux BBP Punggai.

Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas di klinik berkenaan.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button