LUAR NEGARA

‘Jangan uji kami’ – Iran ancam tindak balas lebih dahsyat terhadap AS

TEHRAN – Iran memberi amaran keras bahawa sebarang serangan baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap wilayahnya akan dibalas dengan tindakan ketenteraan yang jauh lebih hebat.

Amaran itu dikeluarkan menerusi kenyataan bersama Markas Besar Angkatan Tentera Iran dan Markas Pusat Khatam al-Anbiya, susulan peningkatan semula ketegangan ketenteraan antara kedua-dua negara.

Menurut kenyataan itu, Iran mendakwa AS terus menggunakan wilayah udara, kemudahan dan kawasan beberapa negara serantau untuk melancarkan serangan terhadap Iran.

Tehran menegaskan pihaknya menghormati kedaulatan negara jiran, namun tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk pencerobohan.

“Sebarang serangan selanjutnya akan menerima tindak balas yang jauh lebih berat,” menurut kenyataan berkenaan.

Iran turut memberi amaran bahawa negara atau pihak yang membenarkan wilayah mereka digunakan bagi operasi ketenteraan AS berdepan risiko menjadi sasaran.

Angkatan Tentera Iran dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) memberi amaran akan bertindak terhadap sumber serangan dengan kekuatan besar sekiranya Washington meneruskan operasi ketenteraan.

“Jangan uji lagi keteguhan angkatan bersenjata Iran,” tegas kenyataan itu.

Amaran tersebut menyusul selepas tentera AS melancarkan serangan terhadap dua pelancar roket Iran di Pulau Larak, berhampiran Selat Hormuz, pada Ahad.

Serangan itu dilaporkan mengorbankan dua individu dan mencederakan dua yang lain, menurut media Iran.

Tehran kemudiannya melancarkan serangan balas menggunakan peluru berpandu terhadap sasaran ketenteraan AS di Jordan.

Perkembangan terbaharu itu meningkatkan kebimbangan terhadap tercetusnya konflik lebih besar di Asia Barat, khususnya berikutan ketegangan di sekitar Selat Hormuz, laluan penting bagi perdagangan minyak dunia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button