
Iran beri amaran serang pangkalan tentera AS jika perang tercetus
Iran ugut serang pangkalan tentera AS jika perang tercetus
TEHERAN – Iran memberi amaran akan menyerang semua pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di rantau Asia Barat sekiranya perang tercetus antara kedua-dua negara.
Amaran itu disuarakan Menteri Pertahanan Iran, Aziz Nasirzadeh semalam susulan kenyataan Presiden AS, Donald Trump yang semakin hilang keyakinan terhadap perjanjian nuklear antara kedua-dua negara.
Menurut laporan media antarabangsa, Nasirzadeh menyifatkan rundingan yang berlarutan tanpa hasil sebagai isyarat provokasi dan jika AS menyerang terlebih dahulu, Teheran tidak akan berdiam diri.
“Jika perang dipaksa ke atas kami… semua pangkalan tentera AS dalam kawasan ini adalah sasaran kami. Kami tidak teragak-agak untuk menyerang, walaupun pangkalan itu berada di negara lain,” katanya kepada media.
Sejak April lalu, AS dan Iran sudah mengadakan lima pusingan rundingan bagi mencari jalan damai, khususnya berhubung isu pengayaan uranium Iran yang dibimbangi boleh digunakan untuk membina senjata nuklear.
Bagaimanapun, Trump memberi amaran bahawa serangan ketenteraan adalah pilihan jika rundingan terus gagal.
Sementara itu, agensi berita Iraq melaporkan tiada sebarang ancaman keselamatan dikesan berhampiran Kedutaan AS di Baghdad, sekali gus menafikan khabar angin bahawa AS akan mengosongkan kedutaan tersebut dalam masa terdekat.
Beberapa sumber sebelum ini mendakwa Washington bersedia untuk memindahkan sebahagian kakitangan diplomatik serta membenarkan keluarga anggota tentera meninggalkan lokasi di Asia Barat berikutan risiko keselamatan yang semakin meningkat.
Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian turut mengulangi pendirian negara itu bahawa Teheran tidak bercadang membina bom nuklear, walaupun berhak menjalankan penyelidikan.
“Kami tidak akan bina senjata nuklear, itu komitmen kami. Tapi siapa mereka untuk larang kami daripada melakukan penyelidikan dalam bidang tertentu?
“Kami masih berunding dan kami tidak akan benarkan sesiapa kenakan kuasa ke atas kami,” tegasnya.
Dalam satu podcast yang disiarkan Rabu lalu, Trump mengakui semakin kurang yakin terhadap kemungkinan mencapai perjanjian dengan Iran yang akan dibincang pada pusingan seterusnya.
“Saya tak pasti. Mungkin tidak akan berlaku,” katanya ketika ditemubual dalam rancangan Pod Force One.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



![One of hundreds of drones made by Iran is displayed as the country continues to be sanctioned by the US [Courtesy of the Iranian government]](https://malaysiatribune.news/wp-content/uploads/2026/03/A87I0637_resize-390x220.webp)




