BERITA SEMASALUAR NEGARA

Serangan AS ke atas Iran akan cetus perang serantau – Khamenei 

TEHRAN – Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei memberi amaran keras kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa sebarang serangan ke atas negara itu boleh mencetuskan perang serantau, ketika Presiden AS, Donald Trump meningkatkan kehadiran aset ketenteraan di Asia Barat.

“Kami ingin mereka tahu, jika mereka memulakan perang kali ini, ia akan jadi perang serantau,” tegas Khamenei, 86, yang memegang kuasa selama 37 tahun, pada satu majlis di pusat bandar Tehran Ahad lalu.

Ucapan itu disampaikan di hadapan ribuan penyokong yang berhimpun bagi memperingati ulang tahun kepulangan Ayatollah Ruhollah Khomeini dari buangan di Perancis pada 1979, peristiwa yang menjadi pemangkin Revolusi Iran dan menggulingkan pemerintah yang disokong AS, Mohammad Reza Shah Pahlavi.

Khamenei turut mendakwa AS berhasrat ‘menelan’ Iran serta sumber minyak dan gas asli negara itu dan menegaskan, protes antikerajaan yang diadakan baru-baru ini menyerupai percubaan rampasan kuasa.

“Rusuhan baru-baru ini mirip rampasan kuasa tetapi rampasan kuasa itu berjaya ditumpaskan.

“Mereka menyerang polis, pusat kerajaan, fasiliti Pengawal Revolusi Islam (IRGC), bank dan masjid, serta membakar al-Quran,” kata beliau.

Susulan kenyataan Khamenei, Trump berkata, beliau berharap Iran bersetuju dengan rundingan damai.

“Harapnya kita akan membuat perjanjian. Jika tidak, kita akan mengetahui sama ada beliau benar atau tidak,” katanya kepada pemberita.

Protes bermula pada 28 Disember selepas peniaga di Tehran membantah kemerosotan ekonomi yang dipacu pengurusan lemah, rasuah dan kejatuhan nilai mata wang rial, akibat sekatan AS dan sekutunya.

Protes itu kemudian meluas menjadi bantahan kebebasan peribadi, krisis tenaga dan air serta pencemaran udara.

Menurut laporan PBB dan kumpulan hak antarabangsa, ribuan orang maut akibat tembakan dan serangan oleh pasukan keselamatan. Bagaimanapun media rasmi Iran melaporkan 3,117 angka kematian, termasuk 2,427 orang awam.

Pihak berkuasa Iran turutn mendakwa ‘pengganas yang dibiayai AS dan Israel bertanggungjawab terhadap keganasan itu.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menjanjikan maklumat lengkap mengenai setiap korban akan diumumkan tidak lama lagi bagi menangkis ‘angka dan dakwaan palsu’ namun tiada tarikh ditetapkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button