LUAR NEGARA

Penganalisis Arab Saudi persoal dakwaan semua serangan di rantau Teluk berpunca dari Iran

RIYADH – Dakwaan semua serangan terhadap negara-negara Arab berpunca daripada Iran dipersoal seorang penganalisis politik Arab Saudi yang menyifatkan terdapat kemungkinan wujud provokasi pihak lain bagi mencetuskan konflik lebih besar di rantau itu.

Ketua Pengarang Independent Arabia, Adhwan al-Ahmari berkata, terdapat pandangan yang semakin berkembang bahawa konflik berkenaan mungkin menjadi ‘perangkap’ bagi mengheret negara-negara Teluk ke dalam konfrontasi dengan Tehran.

Adhwan Al-Ahmari
Adhwan al-Ahmari.

Menurut laporan portal berita Middle East Eye, Adhwan berkata, sebahagian pihak percaya Amerika Syarikat (AS) dan Israel cuba memancing negara-negara Teluk untuk terlibat dalam peperangan sebelum akhirnya ditinggalkan berdepan risiko konflik secara bersendirian.

“Sesetengah orang percaya bahawa perang ini adalah perangkap Amerika-Israel untuk mengheret negara-negara Teluk ke dalam konfrontasi dengan Iran,” katanya dalam satu wawancara.

Beliau menambah bahawa hipotesis tersebut semakin mendapat perhatian, khususnya apabila kepercayaan antara Washington dan sekutunya dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dilihat semakin merosot.

Adhwan turut mempersoalkan kemungkinan AS mengumumkan bahawa matlamatnya dalam konflik tersebut telah dicapai dalam tempoh singkat sebelum menarik diri.

“Bagaimana jika selepas seminggu atau dua minggu Washington mengumumkan perang sudah berakhir dan kemudian meninggalkan negara-negara Teluk dalam konfrontasi terbuka?” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau berpendapat sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran tidak akan membawa perubahan besar selagi Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) tidak dibubarkan.

Perang Iran
Kepulan asap hitam tebal kelihatan menjulang naik dari sebuah gudang di kawasan perindustrian Bandar Sharjah di susulan laporan serangan Iran di Dubai, Emiriah Arab Bersatu hujung minggu lalu. – Foto Media Sosial

Menurutnya, pembunuhan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei atau kemusnahan kemudahan nuklear serta peluru berpandu balistik negara itu tidak akan memberi kesan jangka panjang jika struktur IRGC masih kekal.

IRGC merupakan unit tentera elit Iran yang ditubuhkan bagi melindungi sistem pemerintahan negara itu dan beroperasi secara berasingan daripada angkatan tentera konvensional.

BACA JUGA:

Senat AS tolak usul henti serang Iran, konflik dijangka berlarutan hingga 2 bulan

Trump dakwa Iran lumpuh, jadi bandar hantu selepas dibedil bertalu-talu

Sementara itu, Iran turut menuduh Israel melancarkan beberapa serangan dron ke atas kemudahan tenaga dan kawasan awam di rantau Teluk bagi mencetuskan kemarahan negara Arab serta mengheret mereka ke dalam konflik.

Seorang pegawai Kementerian Luar Iran dilaporkan berkata kepada Middle East Eye bahawa beberapa serangan dron yang berlaku di Arab Saudi bukan dilakukan oleh Iran.

“Saya boleh katakan dengan jelas bahawa beberapa serangan itu tidak dilakukan oleh kami,” katanya.

Dua sumber Iran turut mendakwa agensi perisikan Israel, Mossad terlibat dalam beberapa operasi dron tersebut dan Tehran kini sedang menjejaki rangkaian logistik yang digunakan untuk melancarkan serangan.

Menurut sumber itu, pihak berkuasa Iran juga sedang memburu lokasi gudang yang dipercayai digunakan untuk menyimpan dron serta kemudahan operasi berkaitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button