BERITA SEMASAPMX

Malaysia perlu tangkas hadapi perubahan ekonomi global – PM

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu lebih tangkas menghadapi peningkatan ketegangan geopolitik dan tekanan ekonomi global susulan perubahan dinamik kuasa dunia yang semakin menjadikan perdagangan, teknologi dan sumber strategik sebagai instrumen tekanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu memberi implikasi besar kepada Malaysia sebagai negara perdagangan yang mempunyai integrasi kukuh dalam rantaian bekalan global, termasuk industri cip.

“Bagi sesebuah negara yang bergantung kepada perdagangan, dan Malaysia merupakan negara sedemikian yang mempunyai kilang-kilang di tengah-tengah rantaian bekalan cip dunia, perkara ini bukanlah sekadar pertimbangan teori.

“Negara perdagangan yang naif mengenai perkara ini tidak akan kekal sebagai negara perdagangan untuk tempoh yang lama,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Khazanah Megatrends Forum (KMF) 2026, di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perubahan landskap perdagangan dunia kini menyaksikan tarif, kawalan eksport, cip dan mineral kritikal semakin digunakan sebagai instrumen tekanan dalam persaingan ekonomi dan geopolitik.

Menurut beliau, perkembangan itu memerlukan Malaysia mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati dan strategik, termasuk menerusi penglibatan dalam institusi pelbagai hala dan antarabangsa.

Beliau berkata, cabaran turut timbul apabila perkembangan kuasa ekonomi dan geopolitik bergerak lebih pantas berbanding institusi yang sepatutnya mengawal selia serta memastikan akauntabiliti.

“Kuasa bergerak lebih pantas daripada institusi yang dimaksudkan untuk mengawalnya,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata, persoalan berkaitan akauntabiliti demokratik dan tadbir urus global perlu diberi perhatian, khususnya ketika dunia berdepan amalan perdagangan tidak adil, tarif unilateral, konflik serta ketidakadilan.

Beliau berkata, akauntabiliti terhadap pihak yang memegang kuasa tidak seharusnya hanya dilihat dalam konteks pilihan raya, sebaliknya perlu merangkumi tanggungjawab sebenar dalam membuat keputusan yang memberi kesan kepada masyarakat dan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut memberi perhatian terhadap pengaruh teknologi terhadap keputusan ekonomi dan politik, terutama menerusi kecerdasan buatan (AI), cip dan data.

“Soalannya, siapa yang mengawasi algoritma?” katanya.

Beliau berkata, perkembangan AI turut menimbulkan persoalan keselamatan apabila sebuah syarikat AI terkemuka mendedahkan modelnya yang menjalani ujian keselamatan mampu mencapai internet terbuka dan menjejaskan sistem yang cuba mengasingkannya.

Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan masyarakat perlu lebih berhati-hati dalam berdepan teknologi yang semakin mempunyai keupayaan mempengaruhi perkembangan ekonomi dan politik.

Pada masa sama, Anwar berkata, Malaysia terus mengemudi ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dengan memberi tumpuan kepada perdagangan antarabangsa, selain mengekalkan hubungan dengan negara Barat dan Timur.

Beliau berkata, hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS), Eropah, China, Korea Selatan, Jepun, India serta negara jiran membolehkan negara mengekalkan keseimbangan dalam hubungan antarabangsa.

Dalam konteks ASEAN pula, Anwar berkata, Malaysia bertuah menjadi sebahagian daripada blok serantau itu, namun ASEAN perlu memainkan peranan lebih besar daripada sekadar menjadi platform penganjuran mesyuarat.

“Ia mesti bermakna di mana keupayaan, kuasa untuk membentuk peristiwa, bukan sekadar menjadi tuan rumah mesyuarat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button