POLITIK

Anthony Loke persoal tindakan 10 Exco, dakwa ‘tikam belakang’ Tuanku Muhriz

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mempersoalkan tindakan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang mengesahkan Proklamasi Menurunkan Takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Beliau mendakwa tindakan itu sebagai ‘tikam belakang’ terhadap Tuanku Muhriz, selepas kesemua Exco berkenaan sebelum ini mengangkat sumpah taat setia di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan itu pada 7 Ogos lalu.

Menurut Loke, persoalan utama yang timbul ialah pendirian 10 Exco berkenaan yang terlebih dahulu mengangkat sumpah taat setia bagi membentuk Kerajaan Negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), sebelum kemudiannya mengesahkan Proklamasi Menurunkan Takhta pada 16 September.

“Kalau tak mengiktiraf kedudukan Tuanku, mengapa sanggup angkat sumpah taat setia selepas PRN untuk membentuk Kerajaan Negeri?

“Ini perbuatan tikam belakang!” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons terhadap Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang mempersoalkan sama ada Loke akan menerima keadaan sekiranya Exco di negeri lain dipecat oleh Raja tanpa kelulusan pihak eksekutif.

Mengulas perkara itu, Loke menegaskan DAP tidak pernah melakukan tindakan sedemikian dan akan terus menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan.

“DAP tak pernah buat benda macam ini.

“DAP akan sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya pihak terbabit tidak mengalihkan fokus daripada persoalan utama yang dibangkitkan berhubung tindakan 10 Exco berkenaan.

“Saudara Fadhli, jangan tukar ‘goal post’,” tambahnya.

Terdahulu, Fadhli menolak dakwaan Loke bahawa kemelut di Negeri Sembilan boleh menjejaskan momentum perpaduan Melayu antara UMNO dan PAS.

Menurutnya, kemelut berkenaan tidak boleh dilihat semata-mata sebagai isu membabitkan kedua-dua parti tersebut.

Sebaliknya, beliau berkata terdapat dimensi berkaitan institusi, perlembagaan negeri serta tindakan dan pendirian di peringkat Persekutuan yang perlu dinilai secara keseluruhan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button