Naratif ‘Semua salah DAP’ akan terus dimainkan – Anthony Loke
SEREMBAN – Parti DAP menjangkakan pihak lawan akan terus memainkan naratif menyalahkan parti itu dalam apa jua keadaan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang bermula 18 Julai ini.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, naratif negatif sedemikian dilihat sebagai modal paling berkesan oleh pihak lawan untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kali ini.
“Apa lagi modal pihak lawan yang paling berkesan selain menyalahkan DAP dengan mengatakan apa sahaja isu yang berlaku di Negeri Sembilan, semuanya salah DAP.
“Sebenarnya kempen seumpama itu dah mula pun dan kita dah dengar kerana kita pun ada pengintip-pengintip untuk melihat apa yang mereka buat.
“Jangkaan bahawa naratif yang akan dipermainkan semua salah DAP,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Seremban itu berkata, Perikatan Nasional (PN) terutamanya PAS dilihat sudah mula memainkan naratif tersebut bagi memastikan DAP dan PH kalah dalam pilihan raya.
Sebagai contoh, kata Anthony, Tan Sri Annuar Musa menulis di Facebooknya bahawa ‘jika anda tidak boleh menang, anda masih boleh membuat musuh anda kalah’
“Ini strategi mereka. Mereka tak boleh menang pun, tapi nak mengalahkan PH, mereka menggunakan proksi.
“Ini pendekatan jelas yang digunakan dalam PRN Johor. Itu sebabnya banyak kerusi mereka tak letak calon dan mengarahkan penyokong mereka mengundi calon BN,”katanya.
Beliau ketika berucap turut mendakwa, DAP tidak pernah memainkan apa-apa sentimen perkauman sepanjang perjuangan mereka, malah telah membuktikan mampu mengurus tadbir kerajaan Negeri Sembilan dengan baik bersama PH sejak tahun 2018.
Justeru beliau berharap rakyat di negeri ini tidak terpengaruh dengan naratif kempen sebegitu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








