RM1 bilion tambah baik digital kesihatan awam, akses WiFi klinik, hospital diperluas – Fahmi
PUTRAJAYA – Pengamal perubatan dan pengguna di seluruh negara bakal menikmati akses digital sektor kesihatan yang lebih meluas susulan pengumuman peruntukan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tambahan peruntukan daripada RM650 juta yang diumumkan sebelum ini akan membolehkan lebih banyak premis kesihatan awam menikmati kemudahan digital berkenaan.
“Sebelum ini yang diumumkan adalah sebanyak RM650 juta tapi Perdana Menteri sudah minta dinaikkan ke RM1 bilion.
“Dengan kenaikkan peruntukan ini, ia untuk mempercepat usaha akses digital termasuk WiFi awam di klinik kesihatan dan juga hospital kerajaan serta program e-Medical Record yang kita laksanakan di Klinik Kesihatan Padang Besar sebelum ini.
“Doktor juga boleh mendapatkan maklumat mengenai pesakit tanpa merujuk dokumen fizikal, semuanya diusahakan secara elektronik. Ini menjimatkan masa bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Baca juga : Golongan M40 tidak pernah diabai, dipinggirkan kerajaan – PM
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyediakan peruntukan RM1 bilion bagi pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik, ketersambungan internet di 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kementeriannya serta MCMC akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat, di mana pada peringkat awal sebanyak 15 hospital dijangka akan dapat diselesaikan.
“Saya akan minta supaya angka ini dinaikkan lagi dan daripada 2,000 klinik kesihatan kita akan cuba untuk pertingkatkan jumlah yang dapat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








