BERITA SEMASA

PMKS hasil bawah RM50 juta dikecualikan pelaksanaan kenaikan gaji minimum

PUTRAJAYA – Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mencatat hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan yang berkuat kuasa mulai Jun 2027.

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan, pengecualian itu bagi memberi ruang penyesuaian kepada PMKS.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengumumkan peningkatan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan bermula Jun 2027 yang memanfaatkan lebih empat juta pekerja namun saya ingin tegaskan, PMKS hasil jualan dibawah RM50 juta dikecualikan bagi memberi ruang penyesuaian.

“Keseluruhan inisiatif ini memperlihatkan satu hala tuju yang jelas di bawah kepimpinan Perdana Menteri iaitu membina tenaga kerja Malaysia yang lebih berkemahiran, berpendapatan tinggi dan dilindungi, seiring dengan aspirasi negara menuju ekonomi bernilai tinggi,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Ramanan kemudiannya memberitahu, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang memperincikan mekanisme pemantauan pembayaran gaji pekerja menerusi modul e-Wages bagi memudahkan serta memperkukuh penguatkuasaan undang-undang perburuhan.

Mekanisme itu bertujuan memastikan pembayaran gaji dibuat mengikut kaedah dan tempoh yang ditetapkan menerusi Akta Kerja 1955 dan bagi memastikan gaji dibayar mengikut kadar yang dipersetujui dalam kontrak perkhidmatan termasuk elaun, insentif dan bonus.

Pelaksanaan e-Wages turut bertujuan mengurangkan isu gaji tidak dibayar, pembayaran lewat serta bayaran yang tidak mengikut kadar sebenar atau berada di bawah kadar gaji minimum.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button