BISNES & EKONOMI

KUSKOP pergiat usaha bawa PMKS Malaysia ke pasaran Asia Timur menerusi lawatan ke Jepun

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mempergiat usaha mengantarabangsakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan ke pasaran Asia Timur menerusi penyertaan Menterinya, Steven Sim dalam lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Tokyo, Jepun yang bermula semalam hingga 10 Jun.

Fokus utama lawatan tersebut adalah bagi memperkukuh kerjasama ekonomi Malaysia–Jepun di samping membuka lebih banyak ruang perdagangan, pelaburan serta akses pasaran antarabangsa kepada PMKS tempatan.

Menurut KUSKOP dalam satu kenyataan, antara pengisian program ialah penganjuran Bank Rakyat BizMatch: Make Malaysian Businesses Great yang akan dilaksanakan bersama Bank Rakyat.

“Program itu diadakan bersempena Forum Nikkei: Future of Asia 2026, yang merupakan antara forum ekonomi paling berpengaruh dan berprestij di dunia,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, KUSKOP memaklumkan Jepun kekal sebagai antara rakan ekonomi terpenting Malaysia dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM142.96 bilion pada 2025, sekali gus menjadikannya rakan dagang kelima terbesar negara di peringkat global.

Selain itu, usaha memperluas akses PMKS ke pasaran Jepun turut dibina berasaskan kejayaan beberapa inisiatif pengantarabangsaan yang dilaksanakan kementerian itu sebelum ini.

“Menerusi penyertaan dalam pameran FOODEX Japan 2026 di Tokyo, sebanyak 31 syarikat dan koperasi Malaysia berjaya menjana nilai jualan keseluruhan RM350.8 juta, merangkumi RM318.9 juta potensi jualan dan RM31.9 juta jualan sebenar.

“Pencapaian itu jauh melepasi sasaran awal RM80 juta potensi jualan, selain menyaksikan pemeteraian empat memorandum persefahaman (MoU) dan dua memorandum perjanjian (MoA) antara syarikat Malaysia dengan rakan perniagaan antarabangsa,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, Steven Sim menyifatkan kejayaan tersebut bukti produk dan perusahaan Malaysia mempunyai daya saing tinggi di pasaran global.

“Cabaran seterusnya adalah membantu lebih banyak PMKS tempatan berkembang ke peringkat serantau dan antarabangsa menerusi kerjasama rentas sempadan serta penyertaan dalam rantaian bekalan global,” katanya.

PMKS Malaysia kini mewakili 96.1 peratus daripada keseluruhan perniagaan negara, menyumbang 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mencatat nilai eksport sebanyak RM196.8 bilion pada 2024.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button