Kesatuan Mahasiswa UM pertahan hak Ummi Umairah bersuara di forum iFUTURE
KUALA LUMPUR – Ruang soal jawab yang digunakan mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit untuk mengemukakan pandangan kritikal dalam forum Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 baru-baru ini tidak menjejaskan perjalanan majlis, sebaliknya mencerminkan hak kebebasan bersuara dan kebebasan akademik mahasiswa.
Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya, Aiman Izzat Shamsuddin berkata, mahasiswa berhak mengemukakan soalan kepada panelis berwibawa, termasuk pemimpin politik dan bekas menteri, khususnya berhubung isu semasa yang menjadi perbincangan masyarakat.

Menurutnya, beliau turut terbabit dalam program berkenaan dan berpandangan sesi soal jawab yang berlangsung tidak menunjukkan sebarang gangguan terhadap perjalanan majlis.
“Bagi saya, tidak ada masalah dengan ruang soal jawab yang diberikan. Tiada perbuatan memotong percakapan orang lain atau mengganggu perjalanan majlis.
“Bagi saya, itu menunjukkan hak kebebasan bersuara dan juga hak kebebasan akademik. Kita selaku mahasiswa ingin bertanya soalan dan mendapatkan pandangan daripada panelis yang berwibawa,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Beliau berkata, walaupun persoalan yang dibangkitkan mungkin dianggap sensitif, mahasiswa perlu diberi ruang untuk mengasah pemikiran kritis dengan mengemukakan soalan yang bersesuaian dengan keadaan semasa.
Katanya, isu berkenaan bukan sahaja menjadi perbincangan dalam kalangan mahasiswa, malah turut mendapat perhatian masyarakat secara lebih meluas.
“Jadi, apabila soalan itu ditanyakan dalam medium yang betul bersama Menteri Besar Johor, Menteri Besar Selangor dan bekas menteri, ia tidak ada sebarang masalah,” katanya.
Aiman turut menyambut baik respons yang diberikan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari terhadap persoalan yang dikemukakan mahasiswa.
Kontroversi itu tercetus selepas Ummi Umairah menyuarakan pandangan kritikal berhubung tindakan mengumpul sumbangan bagi membantu membayar denda bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika forum berkenaan berlangsung.
Ummi Umairah menyifatkan bahawa tindakan menderma kepada Najib sebagai antara perkara paling bodoh pernah dilihat.
Terdahulu, Najib menerima Pengampunan Bersyarat yang dibenarkan oleh Yang di-Pertuan Agong bagi menjalani baki hukuman penjara kepada tahanan rumah sehingga Ogos 2028, dengan syarat utama mesti membayar denda RM50 juta.
Sehingga akhir September lalu, kutipan sumbangan tersebut telah mencecah RM9.5 juta.
Pandangan tersebut mengundang reaksi dalam kalangan penyokong Najib dan UMNO, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai kebebasan mahasiswa menyuarakan pendapat serta peranan mereka dalam membincangkan isu politik dan kepentingan awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


