BERITA SEMASA

Mahasiswa berhak persoal isu derma kepada Najib Razak – penganalisis

KUALA LUMPUR – Mahasiswa berhak mempersoalkan kewajaran tindakan mengutip derma bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, namun kebebasan menyuarakan pandangan perlu disertai kesantunan dan tanggungjawab agar perbezaan pendapat tidak mencetuskan permusuhan.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, institusi pengajian tinggi seharusnya menjadi medan yang menggalakkan mahasiswa berfikir secara kritis, berani mengemukakan persoalan dan berhujah mengenai isu kepentingan awam.

“Pada pandangan saya, setiap mahasiswa mempunyai hak dan kebebasan untuk menyuarakan pandangan termasuk mengkritik tindakan pemimpin politik mahupun perkara yang berlaku dalam masyarakat.

“Malah, institusi pengajian tinggi seharusnya menjadi medan yang menggalakkan mahasiswa berfikir secara kritis, berani mengemukakan persoalan dan berhujah mengenai isu-isu kepentingan awam,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Kenyataan itu menyusul kontroversi membabitkan mahasiswa Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit yang mempersoalkan tindakan orang ramai menyumbang wang bagi membantu Najib dalam forum iFUTURE yang turut menampilkan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

dr ayuni
Dr Nur Ayuni menegaskan setiap mahasiswa mempunyai hak dan kebebasan untuk menyuarakan pandangan termasuk mengkritik tindakan pemimpin politik mahupun perkara yang berlaku dalam masyarakat.

Pandangan Ummi Umairah mengundang pelbagai reaksi, khususnya dalam kalangan penyokong Najib, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai batas kebebasan bersuara, adab mahasiswa dan hak masyarakat menyatakan pendirian berbeza.

Mengulas perkara itu, Nur Ayuni yang juga penganalisis politik berkata, hak mahasiswa untuk mengemukakan kritikan perlu dibezakan daripada cara kritikan tersebut disampaikan.

“Dalam konteks kenyataan mahasiswa berkenaan, saya melihat beliau mempunyai hak untuk mempersoalkan tindakan mengutip derma bagi membantu Datuk Seri Najib Razak.

“Namun, penggunaan ungkapan yang agak keras mungkin boleh diperhalusi agar kritikan tersebut disampaikan dengan lebih berlapik dan tidak menimbulkan salah tafsir atau menyinggung pihak tertentu,” katanya lagi.

Beliau berkata, pandangan kritis tidak semestinya perlu disampaikan menggunakan bahasa yang keras kerana hujah yang berasaskan fakta dan disampaikan secara matang lebih berupaya menggalakkan perbincangan yang membina.

“Kita perlu membezakan antara hak untuk mengkritik sesuatu tindakan dengan cara kritikan itu disampaikan. Sesuatu pandangan yang kritis tidak semestinya perlu disampaikan melalui ungkapan yang keras.

“Sebaliknya, hujah yang berasaskan fakta, disampaikan secara matang dan berhemah, boleh memberikan kesan yang lebih baik kepada perbincangan awam,” katanya.

Isu itu turut menimbulkan persoalan mengenai kewajaran kutipan dana yang dilancarkan UMNO bagi membantu Najib membayar denda RM50 juta yang dikaitkan dengan usaha mendapatkan pelaksanaan baki hukuman penjara di bawah aturan tahanan di rumah. Kutipan berkenaan dilaporkan mencecah RM9.5 juta pada akhir September lalu.

Bagi penyokong bekas Presiden UMNO itu, sumbangan berkenaan boleh dilihat sebagai tanda solidariti terhadap pemimpin yang pernah menerajui negara.

Namun, pengkritik pula mempersoalkan mesej yang mungkin disampaikan kepada masyarakat, khususnya generasi muda, apabila dana dikumpulkan untuk membantu individu yang telah disabitkan kesalahan di mahkamah.

mahasiswa
Mahasiswa Universiti Malaya, Ummi Umairah Bakhit ketika sesi soal jawab pada forum dialog iFUTURE anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baru-baru ini. – Foto Facebook KPT

Dalam kes SRC International membabitkan RM42 juta, Najib disabitkan kesalahan dan hukuman terhadapnya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.

Perkara itu menjadi antara asas perbahasan mengenai akauntabiliti pemimpin dan pendirian terhadap usaha membanteras rasuah.

Bagaimanapun, Nur Ayuni berkata, masyarakat juga perlu menghormati hak pihak yang mahu mengadakan kutipan derma selagi tindakan itu dilaksanakan mengikut peraturan berkaitan, selain menghormati hak individu untuk menyumbang secara sukarela.

“Dalam masa yang sama, kita juga perlu menghormati hak pihak yang ingin mengadakan kutipan derma, selagi ia dilaksanakan mengikut peraturan yang berkaitan. Begitu juga dengan individu yang ingin menyumbang.

“Menderma merupakan pilihan peribadi yang lahir daripada keikhlasan dan kerelaan masing-masing, bukannya suatu paksaan. Setiap individu mungkin mempunyai pertimbangan, rasa simpati dan kesetiaan yang berbeza terhadap seseorang pemimpin,” katanya.

Menurutnya, perbezaan pendirian mengenai kutipan dana itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk mana-mana pihak mengecam individu yang mempunyai pandangan berbeza secara keterlaluan.

“Mahasiswa berhak mempersoalkan kewajaran sesuatu tindakan, manakala masyarakat juga berhak untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.

“Namun, kritikan balas perlu dilakukan secara beradab, bukannya melalui penghinaan, ugutan atau serangan peribadi,” katanya.

Beliau berkata, reaksi terhadap pandangan Ummi Umairah sewajarnya menjadi peluang untuk masyarakat memperkukuh budaya perbincangan yang sihat, bukannya menjadikan perbezaan pendapat sebagai punca perbalahan.

Dalam konteks pendidikan tinggi, katanya, mahasiswa perlu diberi ruang untuk mengemukakan pandangan dan menilai isu semasa melalui pemikiran kritis, manakala mereka juga perlu memahami kepentingan fakta, pertimbangan rasional dan kesantunan ketika berhujah.

“Apa yang lebih penting, kita perlu membudayakan kematangan dalam berbeza pandangan. Kebebasan bersuara perlu diraikan, kesantunan perlu dipelihara dan perbezaan pendirian politik tidak seharusnya menghilangkan rasa hormat sesama anggota masyarakat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button