KPN umum penubuhan Tabung Legasi Komuniti Tunku, bantu pelajar hadapi kekangan kewangan
PUTRAJAYA – Kementerian Perpaduan Negara melalui Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) mengumumkan penubuhan Tabung Legasi Komuniti Tunku (Tunku Community Legacy Fund) bagi membantu pelajar yang berdepan kekangan kewangan untuk meneruskan pengajian.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Perpaduan memaklumkan, penubuhan tabung tersebut adalah hasil sumbangan awal berjumlah RM1 juta daripada seorang rakyat Malaysia yang memilih untuk tidak dikenali.
“Penderma tersebut, yang dilahirkan pada era 1940-an dan dibesarkan oleh seorang ibu tunggal di Pahang, pernah melalui pelbagai kesukaran hidup termasuk tidur di lantai kedai dan berkongsi bilik sepanjang tempoh pengajiannya.
“Berkat sokongan masyarakat, beliau berjaya menamatkan pengajian di Universiti Malaya sebelum berkhidmat sebagai penjawat awam.
“Tidak pernah melupakan jasa semua pihak yang membantunya, beliau telah mewasiatkan sumbangan bernilai RM1 juta kepada YTAR sebelum meninggal dunia, bagi menyokong generasi muda yang berpotensi tetapi berdepan kekangan kewangan untuk meneruskan pengajian,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, semangat memberi dan budaya saling menyokong telah sekian lama menjadi asas kekuatan rakyat Malaysia.
“Penubuhan tabung ini juga bertepatan dengan genap 35 tahun pemergian Almarhum Tunku Abdul Rahman, sekali gus menjadi penghormatan bermakna terhadap legasi beliau sebagai Bapa Kemerdekaan yang sentiasa menjiwai semangat memberi dan kepedulian terhadap rakyat,” katanya.
Tambah kenyataan itu, dana tersebut juga membolehkan YTAR menganugerahkan tujuh biasiswa pada tahun 2025, dengan setiap penerima datang daripada latar belakang berbeza tetapi berkongsi aspirasi sama untuk membina masa depan lebih cerah buat diri, keluarga dan negara.
Antara penerima ialah anak muda dari Perlis yang pernah menangguhkan pengajian sehingga enam tahun sebelum kembali ke universiti dan kini mengikuti pengajian di UM, Muhammad Ariff Shuqran Ismail.
Penerima lain termasuk pelajar Orang Asli, Chew Cai San, yang melanjutkan pengajian dalam bidang Perguruan dengan Bimbingan dan Kaunseling di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Tengku Ampuan Afzan.
Sementara itu, Pengerusi YTAR, Datin Seri Sharifah Menyalara Hussein, yang juga cucu
kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman berkata, sumbangan tersebut mengingatkan saya kepada semangat memberi arwah datuk saya, yang terkenal dengan kemurahan hati sepanjang hayatnya.
“Legasi penderma ini akan terus hidup melalui tujuh penerima pertama dana ini, sekali gus memberi impak yang melangkaui komuniti mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Perpaduan menggalakkan lebih ramai rakyat untuk mempertimbangkan pemberian legasi demi memastikan lebih ramai anak muda berpotensi dapat meneruskan pengajian tanpa halangan kewangan.
“Sumbangan kepada Tabung Legasi Komuniti Tunku dibuka sepanjang tahun. Untuk maklumat lanjut atau perbincangan berhubung pemberian legasi, sila hubungi
contactus@yayasantar.org.my,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







