Kempen Raikan Ramadan 2024 Yayasan Maghfirah sasar agihan 10,000 asnaf
KAJANG – Sempena Ramadan tahun ini, Yayasan Maghfirah (YM) melancarkan ‘Kempen Raikan Ramadan’ dengan sasaran RM500,000 nilai agihan untuk 10,000 penerima dari pelbagai latar belakang golongan yang memerlukan.
Ketua Pegawai Eksekutif YM, Muhammad Shuib Norudin berkata, kempen dengan tema ‘Berkongsi Rezeki, Manisnya Memberi’ pada tahun ini menyasarkan liputan agihan yang lebih meluas berbanding tahun lalu.
“YM pada tahun lalu mengagihkan bantuan Ramadan sebanyak RM313,466.242 kepada lebih 10,609 asnaf di seluruh negara.
“Untuk Ramadan kali ini, kami membuka ruang dan peluang kepada semua untuk merebut keberkatan dengan berkongsi rezeki bersama lebih ramai golongan asnaf dan memerlukan di luar sana,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat YM di Putra Kajang di sini.
Muhammad Shuib berkata, seperti tahun-tahun lalu, YM juga akan meneruskan Majlis Amal Maghfirah (MAM) yang bakal meraikan 350 asnaf terdiri daripada anak-anak yatim, pelajar tahfiz, golongan orang kurang upaya (OKU) dan anak-anak tajaan Kelas Sahabat Al-Quran (SAQ-YM).
Katanya, sumbangan daripada kempen akan digerakkan melalui dua projek iaitu ‘Projek Kongsi Rezeki’ dan ‘Projek Jiwa Peduli’ itu yang mensasarkan agihan kepada rumah anak yatim, pusat kebajikan, hospital terpilih, pusat tahfiz dan pusat komuniti.
“Agihan di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu, Kelantan Sarawak dan Sabah oleh kira-kira 800 sukarelawan Skuad Kita Bantu (SKB) YM di seluruh negara.
Tambahnya, bantuan di bawah projek kongsi rezeki juga melibatkan agihan luar negara seperti Kemboja, Mekah, Afrika, Turki, Indonesia dan Lubnan. Manakala Projek Jiwa Peduli akan turut mengumpul dan menyumbang barangan asas ambang Ramadan, bantuan persediaan raya dan lain-lain.


Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi YM, Siti Nor Mariam Said Abdul Malek Shah berkata, sumbangan bagi kempen Raikan Ramadan 2024 boleh dilakukan melalui enam pakej utama iaitu ;
1- Infaq Ramadan Diamond – RM1,000 percuma eKomik Misi Mencari Keampunan
2- Infaq Ramadan Platium – RM300 percuma ebook 30 Tips Mencapai Puasa Mabrur
3- Infaq Ramadan Gold – RM150 percuma ebook 10 Resepi Mudah Iftar
4- Infaq Ramadan Silver – RM60 percuma ebook 7 Doa Eksklusif Ramadan
5- Infaq Ramadan Bronze – RM50 percuma ebook Ramadan Guideline: Puasa dan Tarawih
6- Infaq Ramadan – RM30
Bersempena kempen itu, YM turut menganjurkan pertandingan dengan menawarkan hadiah bernilai RM5,000.
“Maklumat lanjut mengenai pertandingan ini akan diumum dalam siaran Malaysia Hari Ini (MHI) pada 6 Mac nanti.
“Oleh itu, kami mengalu-alukan para dermawan budiman di luar sana untuk bersama-sama YM bagi menjayakan misi ini.
“Sumbangan boleh dibuat melalui akaun Maybank (5622 6355 2802) dengan rujukan (ramadan 03) atau lebih mudah melalui laman web di sedekahym.my atau hubungi pegawai YM di talian 019 6519663 untuk maklumat lanjut,” ujarnya.
Untuk rekod Yayasan Maghfirah yang ditubuhkan pada 2018 dan berdaftar dengan Pejabat Perdana Menteri merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menumpukan usaha pembangunan bidang pendidikan dan kebajikan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








