Kenyataan Onn Hafiz pertahan Najib boleh jejas sokongan pengundi muda terhadap UMNO – penganalisis
KUALA LUMPUR – Kenyataan mempertahankan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung prosiding mahkamah berisiko mengukuhkan persepsi negatif terhadap UMNO, khususnya dalam kalangan pengundi muda yang semakin kritikal terhadap isu rasuah dan integriti kepimpinan politik.
Penganalisis Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Amim Othman berkata, kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengenai isu membabitkan Najib perlu dilihat dalam konteks sentimen kepartian, hubungan kekeluargaan serta perkembangan politik semasa.
Menurutnya, kecenderungan Onn Hafiz mempertahankan bekas Presiden UMNO itu boleh difahami dari sudut hubungan politik mereka, termasuk peranan Najib yang turun padang membantu kemenangan Onn Hafiz di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022.
“Sebagai pemimpin UMNO, adalah dijangkakan Onn Hafiz mempunyai kecenderungan untuk mempertahankan mantan presidennya.
“Hubungan ini turut diperkukuh apabila Najib secara aktif turun padang membantu kemenangan Onn Hafiz di DUN Machap semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Onn Hafiz dalam sesi soal jawab forum iFUTURE anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baru-baru ini yang mempersoalkan bahawa pendakwaan Najib adalah ‘pendakwaan terpilih’ dan sangat ‘tidak adil’.

Mohd Amim yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia UPM berkata, pertalian kekeluargaan antara kedua-dua tokoh itu juga berkemungkinan menjadi antara faktor yang mempengaruhi pandangan dan emosi yang disampaikan.
Onn Hafiz ialah cucu kepada bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn, manakala Najib merupakan anak saudara Tun Hussein. Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula ialah sepupu Najib.
Bagaimanapun, Mohd Amim berkata, hubungan politik dan kekeluargaan perlu dibezakan daripada kedudukan sesuatu kes berdasarkan proses serta keputusan perundangan.
Menurutnya, naratif bahawa Najib menjadi mangsa pendakwaan politik terpilih lebih mencerminkan pendirian pihak yang mempertikaikan proses berkenaan, namun ia tidak mengubah hakikat bahawa Najib telah disabitkan kesalahan oleh mahkamah dalam kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau berkata, dakwaan pendakwaan terpilih lazimnya timbul apabila sesuatu pihak merasakan dirinya tidak mendapat pembelaan yang adil, sekali gus memperlihatkan perbezaan pandangan mengenai kebebasan institusi kehakiman.
“Perkara ini secara tidak langsung menggambarkan terdapat beberapa kem dalam UMNO, termasuk pihak yang tidak bersetuju dan berpandangan sistem kehakiman Malaysia masih dicengkam oleh pihak eksekutif,” katanya.
Mengulas kemungkinan kenyataan Onn Hafiz mengandungi unsur penghinaan terhadap mahkamah atau contempt of court, beliau berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa dan mahkamah untuk ditentukan berdasarkan undang-undang.
“Saya tidak mempunyai autoriti untuk menyokong pendapat bahawa kenyataan itu mengandungi unsur penghinaan terhadap mahkamah dan menyerahkan sepenuhnya perkara tersebut kepada penentuan mahkamah,” katanya.
Mengulas kesesuaian kenyataan itu dalam konteks forum terbuka, Mohd Amim berpandangan, pandangan yang dilontarkan Onn Hafiz kurang selari dengan suasana perbincangan ketika itu, khususnya apabila isu rasuah, skandal 1MDB dan usaha mengumpul dana bagi permohonan perkenan pengampunan bersyarat untuk membolehkan Najib menjalani baki hukuman sebagai tahanan rumah menjadi perhatian.
Katanya, forum yang turut melibatkan mahasiswa sepatutnya menjadi ruang untuk membincangkan persoalan berkaitan integriti, akauntabiliti dan tadbir urus secara terbuka, tanpa mengetepikan fakta serta keputusan mahkamah.
“Majoriti audiens yang hadir, khususnya golongan mahasiswa, mempunyai fikiran terbuka, matang dan sudah penat dengan pelbagai skandal rasuah yang kerap dikaitkan dengan pimpinan politik.
“Onn Hafiz tidak sepatutnya membuat komen yang dilihat berbaur mempertahankan pemimpin terbabit di hadapan generasi muda dalam suasana wujudnya pelbagai kes rasuah melibatkan pemimpin parti,” katanya.
Beliau berkata, reaksi sedemikian boleh memberi gambaran bahawa UMNO masih berdepan masalah dalam menangani persepsi berkaitan rasuah, terutama apabila parti itu turut berhadapan pelbagai cabaran politik di peringkat nasional dan negeri.
Menurutnya, polemik politik setempat, termasuk dinamika hubungan UMNO dengan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan, juga berpotensi mempengaruhi tanggapan pengundi terhadap parti berkenaan.
Mohd Amim berkata, isu itu wajar diberi perhatian kerana pengundi muda membentuk kumpulan penting dalam demografi pengundi negara dan pandangan mereka terhadap integriti kepimpinan boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya.
“Sekiranya persepsi ini gagal diuruskan dengan baik, UMNO berisiko berdepan kesukaran mempertahankan kemenangan besar di Johor dan Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, terutama dengan pertambahan pengundi muda,” katanya.
Beliau berkata, parti politik perlu memahami bahawa sokongan generasi muda bukan sekadar bergantung kepada hubungan tradisi atau kesetiaan kepartian, sebaliknya turut dipengaruhi keupayaan pemimpin menunjukkan komitmen terhadap integriti, ketelusan dan penghormatan terhadap institusi negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








