Titah Adendum: UMNO mohon tahanan rumah Najib dilaksana ikut Perlembagaan
KUALA LUMPUR – UMNO memohon agar pelaksanaan tahanan rumah ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dapat dilaksanakan selaras dengan kuasa mutlak Seri Paduka Baginda di bawah Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, permohonan itu dibuat susulan pengesahan oleh Peguam Negara berhubung kewujudan Titah Adendum yang memperakui tahanan rumah terhadap Najib.
“UMNO mengucapkan syukur atas pengesahan yang dibuat oleh Peguam Negara semalam berkenaan kewujudan Titah Adendum, sekali gus memperakui bahawa Yang di-Pertuan Agong pernah menitahkan agar Datuk Seri Najib menjalani tahanan rumah.
“Sehubungan itu, UMNO merafak sembah memohon limpah perkenan agar titah berkenaan dapat dilaksanakan mengikut lunas Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baca juga : Najib tidak ambil langkah mencukupi buktikan adendum tahanan rumah – Peguam Negara
Baca juga : Shafee dakwa ada pihak cuba sembunyikan Titah Adendum YDPA ke-16
Menurut beliau, pelaksanaan tahanan rumah itu akan membolehkan bekas Perdana Menteri keenam itu mendapat keringanan hukuman yang telah tertangguh lebih setahun lalu.
Terdahulu, media melaporkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak menafikan kewujudan Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Namun begitu, AGC mempertikaikan prosedur bagi mengemukakan titah tersebut sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan Najib di Mahkamah Tinggi.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Beliau sebelum ini memfailkan petisyen pengampunan diraja pada 2 September 2022 dan Lembaga Pengampunan kemudiannya memutuskan untuk mengurangkan tempoh hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Pada 3 Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan semakan kehakiman, sebelum beliau mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Tinggi turut memutuskan bahawa empat afidavit yang dikemukakan bagi menyokong dakwaan Najib, termasuk oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak boleh diterima sebagai bukti kerana dianggap khabar angin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |























3 Comments