BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Najib tidak ambil langkah mencukupi buktikan adendum tahanan rumah – Peguam Negara

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan dimaklumkan Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mengambil langkah yang mencukupi untuk membuktikan kewujudan Titah Adendum semasa permohonan semakan kehakiman didengar di Mahkamah Tinggi tahun lalu.

Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar berkata, bekas perdana menteri itu mendakwa telah menerima maklumat sahih bahawa bekas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah mengeluarkan adendum terbabit.

“Walau bagaimanapun, beliau tidak menunjukkan sebarang usaha untuk berhubung dengan Istana Negara atau Istana Pahang berkenaan kewujudan perintah adendum tersebut,” katanya.

Dusuki berkata demikian dalam rayuannya bagi persoalan yang dibangkitkan berhubung semakan kehakiman membabitkan Titah Adendum tersebut di Mahkamah Persekutuan hari ini.

Rayuan berkenaan didengar panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Baca juga : Najib buat laporan polis terhadap bekas AG berhubung isu Titah Adendum

Baca juga : Shafee dakwa ada pihak cuba sembunyikan Titah Adendum YDPA ke-16

Semalam, panel hakim secara sebulat suara menolak bantahan awal Datuk Seri Najib Razak terhadap rayuan Peguam Negara dalam kes semakan berhubung Titah Adendum itu.

Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Permohonan tersebut bertujuan memaksa kerajaan atau enam pihak lain mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.

Titah berkenaan didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, berkaitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Pada 28 April lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Peguam Negara untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan tersebut dan menetapkan pendengaran rayuan selama dua hari bermula semalam.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Najib menamakan tujuh pihak sebagai responden iaitu Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia.

Antara relif yang dipohon Najib ialah supaya responden atau mana-mana seorang daripada mereka menyerahkan salinan titah utama Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button