SPRM bentang 8 syor perkemas tatakelola tiga agensi negeri Sabah
KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini membentangkan lapan syor penambahbaikan tatakelola berkaitan dengan fungsi dan bidang kuasa Jabatan Kerja Raya Negeri Sabah, Jabatan Bendahari Negeri Sabah dan Kementerian Kewangan Negeri Sabah.
Kesemua syor berkenaan merupakan dapatan daripada penyiasatan tatakelola yang memberi tumpuan terhadap pengurusan Projek Pembinaan Jalan Dua Hala Lintasan Libaran dan Menaiktaraf Jalan Gum-Gum Kecil di Daerah Sandakan yang merupakan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9).
Antara syor yang dikemukakan adalah mewujudkan garis panduan yang lengkap dan terperinci berkaitan proses pembayaran kontrak kerja dan pembekalan, menaik taraf dan mengintegrasikan sistem pengurusan tuntutan sedia ada, mewujudkan kod bayaran khusus bagi Akaun Amanah JKR Sabah dan mewujudkan Akaun Amanah di bawah JKR Sabah.
Selain itu, SPRM Sabah turut mengesyorkan penambahbaikan garis panduan sedia ada dengan mewujudkan satu Pekeliling Pentadbiran Kontrak, menambahbaik pelaksanaan penggunaan borang standard JKR Sabah, mewujudkan garis panduan khusus berkaitan pengurusan Akaun Amanah dan mewujudkan Pekeliling Penubuhan dan Tanggungjawab Jawatankuasa Contract Coordinator Panel (CCP) serta Tatacara Pengurusan Projek Sakit dan Pelantikan Kontraktor Penyiap bagi Projek Sakit.
Kesemua syor berkenaan dibentangkan oleh Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah di bilik mesyuarat Kementerian Kewangan Sabah, di sini hari ini.
Sementara itu, Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair; Timbalan Bendahari Negeri Sabah (Pembangunan), Hamdan Hamzani dan Pengarah JKR Sabah, Baharuhom K.K Sogon menyambut baik syor berkenaan dan bersedia untuk meneliti serta mengambil tindakan susulan termasuk mengemas kini garis panduan dan menaik taraf sistem sedia ada.
Persetujuan berkenaan turut dizahirkan menerusi menerusi penandatanganan Laporan Penambahbaikan Tatakelola yang disaksikan oleh Mohd Fuad Bee serta Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Sabah, Alexander S. Kunghi; dan Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah, Hamsia Abdul Ham.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








