Selangor sasar jadi hab reka bentuk cip semikonduktor
KUALA LUMPUR – Selangor memperkukuh kedudukannya sebagai hab teknologi tinggi negara menerusi pelancaran enam cip semikonduktor tempatan yang berpotensi menjana nilai jualan komersial RM300 juta.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan Malaysia beralih daripada hanya menumpukan aktiviti pembuatan dan pemasangan kepada pembangunan serta pemilikan teknologi sendiri.
“Malaysia perlu memberi tumpuan kepada reka bentuk litar bersepadu (IC) bagi membolehkan negara bergerak ke arah rantaian nilai lebih tinggi dalam industri semikonduktor global,” katanya ketika merasmikan Selangor AI & Semiconductor Summit (AiSEM@Selangor) 2026 di Grand Hyatt Kuala Lumpur hari ini.
Beliau menyamakan kepentingan reka bentuk cip dengan peranan arkitek dalam pembinaan bangunan yang menjadi asas sebelum sesuatu projek dapat dilaksanakan.
“Penguasaan teknologi berkenaan juga penting bagi mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan susulan ketidaktentuan geopolitik global,” katanya.
Beliau berkata, sejak penubuhan Malaysia Semiconductor IC Design Park pertama di Puchong pada Ogos 2024 dan taman kedua di Cyberjaya pada November 2025, ekosistem reka bentuk cip di Selangor berkembang dengan penglibatan 407 jurutera daripada 20 syarikat.
“Ekosistem itu turut merangkumi firma tempatan serta rakan antarabangsa dari Taiwan, Perancis, Jepun dan Australia.
“Enam cip yang dilancarkan itu merangkumi teknologi pemproses kecerdasan buatan (AI), storan berasaskan AI, cip logik boleh atur cara, pengurusan kuasa elektronik automotif, sistem kuasa satelit dan pengawal penerbangan dron autonomi,” katanya.
Dalam usaha memperkukuh pembangunan bakat, Amirudin berkata, Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) telah melatih kira-kira 850 jurutera menerusi kerjasama dengan lebih 100 universiti.
Beliau berkata, pembangunan bakat tempatan penting bagi memastikan industri semikonduktor negara mempunyai tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi permintaan industri pada masa hadapan.
Selain itu, Selangor turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat teknologi global, Arm, bagi menyediakan akses kepada kemudahan reka bentuk cip dan harta intelek (IP) bertaraf dunia kepada syarikat tempatan.
“Kerajaan negeri juga menyokong pembiayaan syarikat pemula menerusi Ehsan Semiconductor Fund yang menyasarkan saiz dana RM100 juta bagi pelaburan dalam sektor semikonduktor, AI, automotif dan teknologi berkaitan,” katanya.
Mengulas perkembangan seterusnya, Amirudin berkata, Selangor merancang membangunkan Robotic Campus yang menggabungkan reka bentuk cip, robotik dan sistem autonomi untuk pelbagai kegunaan, termasuk rondaan keselamatan serta operasi logistik di pelabuhan dan lapangan terbang.
Menurutnya, perkembangan itu turut membuka peluang kepada Malaysia meneroka bidang AI fizikal yang membolehkan sistem pintar berinteraksi dan melaksanakan tugas dalam persekitaran sebenar.
“Kemajuan AI perlu disertai perhatian terhadap aspek etika, keselamatan data dan risiko geopolitik, termasuk persaingan teknologi antara Amerika Syarikat dan China,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan negeri komited membentangkan Kertas Putih Kecerdasan Buatan bagi mengenal pasti risiko, ancaman serta potensi teknologi berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, AiSEM@Selangor 2026 turut menganjurkan Malaysia Semiconductor Recruitment Day di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang membabitkan lebih 30 syarikat bagi membuka peluang kerjaya dalam industri semikonduktor.
Turut hadir, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Nasir.
Amirudin berkata, kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, institusi pendidikan dan pemain industri penting bagi mencapai matlamat meletakkan Malaysia dalam kelompok 30 ekonomi terbesar dunia menjelang 2030.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








