Kerajaan Selangor sambut baik cadangan anjur Himpunan RXZ
SEPANG – Kerajaan negeri Selangor menyambut baik cadangan penganjuran Himpunan RXZ di negeri ini sebagai usaha menggalakkan pelancongan serta merancakkan lagi industri sukan tempatan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, cadangan berkenaan pernah diterima satu atau dua tahun lalu dan akan diteliti semula berdasarkan kesesuaian serta potensi yang ada.
“Kita ada terima proposal dalam tempoh satu atau dua tahun lalu, kita akan teliti balik tengok kepada kesesuaian. Sebagaimana ucapan saya di Parlimen, antara perkara yang kita beri perhatian adalah industri sukan kerana kita bukan hanya lihat kepada penganjuran, tetapi kepada industri itu secara menyeluruh.
“Kita ada Litar Sepang, Litar Kuala Selangor, keduanya saling melengkapi dan beberapa jaguh yang lahir daripada tempat itu telah berjaya kita tonjolkan. Itu akan ada dalam rancangan Selangor ke-2,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Pantai Bagan Lalang@Sepang di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang juga Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu, dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Dr Ani Ahmad.
Mengulas mengenai kempen Tahun Melawat Selangor 2025, Amirudin berkata, momentum positif sedang ditunjukkan apabila negeri itu telah berjaya merekodkan lebih empat juta pelancong setakat Jun lalu, sekali gus meyakinkan sasaran lapan juta pelancong mampu dicapai
“Alhamdulillah, berkat sokongan pengunjung, pelancong serta semua pemain industri pelancongan, Negeri Selangor telah berjaya menerima lebih 4,111,473 orang pelancong setakat bulan Jun 2025.
“Di daerah Sepang sahaja, seramai 624,794 orang pelancong telah direkodkan,” katanya berdasarkan data Jabatan Statistik Tourism Selangor.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















