Sembilan sekolah di Nilai, Tampin terima bungkusan misteri berisi tepung
SEREMBAN – Polis menerima sembilan laporan berhubung penemuan bungkusan mencurigakan di beberapa sekolah di Nilai dan Tampin yang didapati mengandungi tepung gandum serta pinggan plastik.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, lima laporan diterima di Nilai manakala empat lagi di Tampin.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu mempunyai persamaan dari segi bentuk bungkusan dan kandungannya.
Katanya, bungkusan berkenaan dilaporkan berada di kawasan sekolah untuk suatu tempoh sebelum pihak sekolah membuat laporan polis selepas individu yang dinamakan sebagai penerima tidak hadir untuk mengambilnya.
“Susulan kejadian itu, polis mendapatkan bantuan Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada bahan letupan atau bahan berbahaya ditemukan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan berkenaan mengandungi tepung gandum dan pinggan plastik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alzafny berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menghantar atau meninggalkan bungkusan itu serta menentukan motif sebenar kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |










