BERITA SEMASA

Lima tindakan tangani banjir di KL, Selangor

SHAH ALAM – Selangor dan Kuala Lumpur bersetuju melaksanakan lima tindakan utama bagi menangani masalah banjir yang kerap berlaku di Lembah Klang.

Persetujuan itu dicapai menerusi kerjasama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh Tseow Suan.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin itu berkata, Selangor dan Kuala Lumpur perlu menggembleng tenaga bagi menguruskan saliran air dari kawasan Hulu Selangor yang mengalir melalui Kuala Lumpur sebelum tiba di kawasan selatan Selangor.

Menurut mereka, keperluan itu amat mendesak memandangkan tiga daripada 10 rakyat Malaysia merupakan penduduk Selangor dan Kuala Lumpur, manakala kedua-dua kawasan berkenaan menyumbang 41.7 peratus kepada keseluruhan ekonomi Malaysia.

“Persetujuan dasar yang dicapai merangkumi pengurusan tanah, kapasiti takungan, ruang hijau, pembangunan bandar secara mampan dan pengaliran air.

“Lima tindakan yang dipersetujui bagi mengurangkan insiden banjir di Lembah Klang ialah mesyuarat teknikal dalam tempoh dua minggu, kajian kapasiti Empangan Batu dan Klang Gate, pengenalpastian lokasi kolam takungan banjir baharu, peningkatan kapasiti tiga kolam sedia ada serta penyelarasan kerja pengorekan sungai dan pembuangan kelodak,” menurut kenyataan hari ini.

Mesyuarat teknikal akan diadakan dalam tempoh dua minggu bagi memperincikan lokasi, skop projek, anggaran kos, sumber pembiayaan dan kaedah pelaksanaan.

Kajian terhadap kapasiti Empangan Batu dan Empangan Klang Gate pula akan dijalankan bagi menilai keupayaannya memenuhi keperluan pengurusan air untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Pada masa sama, agensi teknikal berkaitan akan mengenal pasti lokasi sesuai di kawasan hulu sungai bagi pembinaan kolam takungan banjir baharu, termasuk di Selangor.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor turut mengenal pasti tiga kolam sedia ada untuk dinaik taraf bagi meningkatkan kapasiti takungan iaitu Kolam Kampung Laksamana, Kolam Sungai Kertas dan kolam di Bukit Lagong.

Kerja pengorekan sungai dan pengeluaran kelodak di Kuala Lumpur serta Selangor pula akan diselaraskan JPS Selangor bersama JPS Kuala Lumpur.

JPS Kuala Lumpur turut membantu mengenal pasti tapak khas seluas 30 ekar di Selangor yang sesuai bagi pembuangan sisa korekan kelodak.

Pemilihan tapak berkenaan akan mengambil kira kesesuaian teknikal, status tanah, kaedah pengurusan kelodak serta kesannya terhadap alam sekitar dan kawasan berhampiran.

Kedua-dua pihak berkata, setiap tindakan akan diperincikan mengikut lokasi, agensi pelaksana, anggaran kos, sumber pembiayaan dan tempoh pelaksanaan.

“Keutamaan kedua-dua pentadbiran adalah untuk mengurangkan risiko banjir, mengukuhkan daya tahan bandar selain mengurangkan keresahan penduduk apabila musim hujan, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui perancangan yang lebih proaktif, tersusun dan bersepadu,” menurut kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button