BERITA SEMASA

Kerajaan Selangor laksana kawalan kenaikan cukai PBT

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor hari ini mengumumkan pelaksanaan kawalan kenaikan cukai taksiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sehingga 25 peratus dari nilai cukai semasa yang dikenakan pada tahun ini.

Menurut EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Ng Suee Lim, kawalan ini terpakai kepada cukai baharu yang berkuat kuasa 1 Januari depan.

Dengan kawalan kenaikan cukai 25 peratus, katanya, pemilik harta yang sudah lama tidak dibuat semakan akan menerima diskaun sehingga 75 peratus pada cukai taksiran baharu bagi kenaikan melebihi 100 peratus.

“Sebagai contoh, jika cukai taksiran pangsapuri yang dibayar pada 2024 berjumlah RM100 setahun, selepas penilaian semula ia menjadi RM200 setahun, yang mana amaun ini perlu dikutip PBT.

“(Bagaimanapun) Kawalan kenaikan cukai taksiran sehingga 25 peratus yang ditetapkan kerajaan negeri menjadikan jumlah cukai baharu yang patut dibayar pada 2025 kepada RM125 setahun, berbanding RM200 yang sepatutnya dikutip oleh PBT,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, perbezaan ketara ini adalah disebabkan jurang kadar sewa yang digunakan dalam menentukan kiraan cukai taksiran seperti mana diperuntukkan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Beliau kemudiannya menambah, bagi pegangan yang membuat perubahan matan atau kegunaan bangunan, ia akan dinilai seperti mana nilai di tapak dan tiada pengurangan diberikan.

Jelasnya, kadar cukai taksiran baharu itu adalah langkah memastikan kepatuhan dan penguatkuasaan yang lebih efektif dalam bidang penilaian serta perkhidmatan awam di seluruh negeri.

“Ia dilaksanakan sejajar Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171] yang mana senarai satu nilaian baharu hendaklah disedia dan disiapkan oleh semua PBT setiap lima tahun,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button