Anggota APM maut dipatuk tedung selar ketika demonstrasi
TEMERLOH – Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang dipatuk ular tedung selar ketika melakukan demonstrasi pengendalian reptilia itu di Dewan Taman Temerloh Jaya, di sini, semalam, meninggal dunia awal pagi tadi.
Sarjan Pertahanan Awam (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin, 39, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.50 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), di sini.
Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata jenazah Allahyarham akan diuruskan dan disembahyangkan di Masjid Kampung Bukit Kelulut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kelulut.
“Urusan pengebumian dijangka dilaksanakan kira-kira pukul 9 pagi ini.
“Difahamkan, Allahyarham masih bujang dan mempunyai seorang kakak,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi semalam, Muhamad Muazam Shah dipatuk ular tedung selar pada jari tengah tangan kanan ketika melakukan demonstrasi pengendalian ular.
Ketika kejadian, APM Daerah Temerloh dijemput menyertai Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat dengan mengadakan demonstrasi pengendalian ular kepada peserta program berkenaan.
Che Adam berkata, selepas dipatuk, mangsa keluar dari dewan untuk mencuci tangannya sebelum tiba-tiba pitam di luar dewan.
“Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan HoSHAS untuk mendapatkan rawatan lanjut dan ditempatkan di Zon Merah di bawah pemantauan doktor.
“Keadaannya terus dipantau sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 1.50 pagi tadi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








