ME2023: Jenazah pendaki Awang Askandar selamat tiba di KLIA
SEPANG – Jenazah peserta misi pendakian Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Lt Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 7.30 pagi tadi.
Menurut laporan Bernama, jenazah akan dibawa balik ke Kota Kinabalu, Sabah dengan penerbangan MH2646 pukul 11.35 pagi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu pada 2.15 petang ini.
Terdahulu, jenazah Awang Askandar diterbangkan menerusi pesawat MH115 yang berlepas dari Kathmandu, Nepal semalam, pada jam 11.30 malam (waktu Kathmandu).
Dalam pada itu, kira-kira 70 anggota APM menyertai sesi penghormatan terakhir yang diadakan di Kompleks Kargo KLIA di sini hari ini, selain turut mengadakan bacaan yasin dan tahlil yang dipimpin Lt Bersekutu APM, Miszlee Samais.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff turut berkenan berangkat menziarahi jenazah dan memberi penghormatan terakhir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali semalam dilaporkan berkata, atas permintaan keluarga, jenazah akan dibawa ke kediaman mereka di Kampung Benoni, Papar, Sabah.
Jenazah kemudian akan dibawa ke Masjid Jamek As-Salam Benoni untuk solat jenazah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Benoni dengan mengikut istiadat penghormatan APM.
Media tempatan sebelum ini melaporkan Awang Askandar meninggal dunia sehari selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke Gunung Everest.
Beliau dikatakan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak, pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari aras laut.
Allahyarham ketika itu bersama seorang lagi pendaki negara Muhammad Hawari Hashim, 33, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.
Muhammad Hawari dilaporkan hilang pada 19 Mei lalu, setelah berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu dan usaha mencarinya masih dijalankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














