Malaysia, Kemboja perkukuh kerjasama serantau – Zahid
PHNOM PENH – Malaysia dan Kemboja berkongsi semangat serantau yang sama khususnya dalam memperkukuh daya tahan bencana serta memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi halal, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), telekomunikasi dan pelaburan luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama erat antara kedua-dua negara bukan sahaja akan memperkukuh ASEAN, malah memperteguh masa depan rakyat serantau.
“Saya percaya bahawa dengan hubungan yang erat dan berterusan, kita bukan sahaja memperkukuh ASEAN, tetapi turut memperteguh masa depan rakyat serantau,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Zahid kini berada di Phnom Penh bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN dalam Pengurusan Bencana (AMMDM) ke-13 dan COP-AADMER ke-14, selain mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi Kemboja, termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri negara itu.
Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Kanan Tugas-Tugas Khas Kemboja bagi Hal Ehwal Islam, Datuk Dr. Othsman Hassan yang juga Menteri Pengiring mewakili kerajaan Kemboja; Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Shaharuddin Onn bersama pegawai-pegawai kedutaan; serta Setiausaha Agung Jawatankuasa Kebangsaan Pengurusan Bencana (NCDM), Kim Virak.
Zahid berkata, beliau akan mewakili Malaysia untuk menyampaikan Kenyataan Menteri pada mesyuarat tersebut sebagai usaha berterusan negara dalam memperkukuh kerjasama serantau menghadapi cabaran bencana.
Menurutnya, misi diplomatik ini diharap dapat membawa manfaat besar kepada Malaysia dan membuka lebih banyak ruang kerjasama strategik dengan Kemboja dalam pelbagai bidang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








