BERITA SEMASAPMX

Malaysia jadi tuan rumah mesyuarat khas Menteri Luar ASEAN Thailand-Kemboja

PUTRAJAYA – Malaysia akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN pada 22 Disember ini sebagai usaha diplomatik serantau untuk mengekang eskalasi konflik di sempadan Thailand dan Kemboja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat berkenaan memberi ruang kepada ASEAN untuk bertindak secara kolektif bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi di lapangan, selain memperkukuh usaha memujuk kedua-dua negara terbabit melakukan gencatan segera.

Menurut beliau, Thailand dan Kemboja telah menyatakan persetujuan untuk menghadiri mesyuarat khas itu yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.

“Kami merayu supaya mereka segera menghentikan serangan di barisan hadapan dan jika boleh melaksanakan gencatan senjata serta-merta.

“Mereka tidak gemar menggunakan istilah gencatan senjata kerana ia membawa maksud persetujuan. Jadi, jika dilihat kenyataan saya, saya menggesa pihak terbabit supaya mematuhi satu gencatan,” katanya pada sesi Taklimat Perdana Menteri Bersama Ketua-Ketua Pengarang Media di Kompleks Seri Perdana, di sini, semalam.

Mengulas peranan Malaysia dalam usaha itu, Anwar menegaskan bahawa negara ini tidak berada dalam kedudukan untuk mengeluarkan arahan kepada menteri-menteri luar ASEAN, sebaliknya menekankan pendekatan libat urus berterusan yang diamalkan dalam kalangan kepimpinan serantau.

“Saya tidak memberi arahan kepada menteri-menteri luar, tetapi anda dapat lihat kami berkomunikasi hampir setiap hari,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa keputusan mengadakan mesyuarat khas tersebut dibuat hasil rundingan berpanjangan dengan Perdana Menteri Thailand dan Kemboja, selain perkembangan terkini yang disampaikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

“Presiden Trump menelefon dan memaklumkan saya. Saya memberitahu beliau bahawa adalah penting untuk meyakinkan mereka supaya menghentikan serangan,” katanya.

Anwar berkata, meskipun tarikh mesyuarat telah dipersetujui, kedua-dua Perdana Menteri sebelum ini berpandangan rundingan tidak wajar diadakan terlalu awal sekiranya keadaan di lapangan masih tegang.

“Dalam kalangan pihak yang bertelagah, sukar untuk mendapatkan mereka duduk berbincang. Dalam kes ini, kerana ia dimulakan oleh Malaysia dan ASEAN, mereka bersetuju untuk hadir pada 22 Disember ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button