PRN Johor: Anwar ucap selamat mengundi kepada pengundi awal
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat mengundi kepada semua pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 hari ini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berharap semua pengundi yang layak dapat melakukan yang terbaik untuk negeri Johor.
“Selamat mengundi buat para pengundi awal PRN Johor. Lakukan yang terbaik untuk negeri ini.
“Pilihlah calon Harapan, Johor Ke Depan. Undi Harapan,” katanya Menerusi catatan di Facebook milik beliau hari ini.
Seramai 24,751 pengundi awal yang layak akan melaksanakan amanah mereka di 64 pusat mengundi yang diwartakan di seluruh negeri, hari ini.
Pengundi awal bagi PRN Johor kali ini terdiri daripada 12,041 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama-sama pasangan serta 12,710 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan pasangan masing-masing.
Sebanyak 53 pusat mengundi awal bagi PDRM, manakala 11 lagi untuk ATM akan dibuka serentak pada 8 pagi ini, dengan waktu penutupan dilakukan secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 6 petang, bergantung pada lokasi dan jumlah pemilih berdaftar.
Pada PRN kali ini, PH meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkumi 20 calon PKR, 19 calon Amanah dan 17 calon DAP.
PRN Johor ke-16 menyaksikan keseluruhan 172 calon merebut 56 kerusi DUN dengan pengundian bagi 2.7 juta pemilih ditetapkan pada Sabtu ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















