Anwar ziarah Mursyidul Am PAS di Hospital Pulau Pinang
GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa menziarahi Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin yang sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri berkata, kunjungan tersebut dilakukan ketika beliau dalam perjalanan menghadiri lawatan kerja di Pulau Pinang dan Kedah.
Menurut Anwar, beliau bersyukur kerana Hashim berada dalam keadaan baik dan berpeluang berbual panjang bersama tokoh politik berkenaan ketika menziarahinya di hospital itu.
“Alhamdulillah, beliau dalam keadaan baik dan kami sempat berbicara panjang. Saya turut menyampaikan salam Azizah kepada beliau dan keluarga, serta mendoakan afiyah dan kesembuhan segera buat Ustaz Hashim,” katanya.
Dalam lawatan sama, Perdana Menteri juga menziarahi seorang jururawat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang sedang menerima rawatan selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Anwar berkata, pengorbanan petugas kesihatan amat besar dalam memastikan perkhidmatan kepada masyarakat terus berjalan dengan baik.
“Saya amat menghargai dedikasi dan pengorbanan petugas kesihatan yang sentiasa komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Sebelum beredar, beliau turut mendapatkan perkembangan terkini mengenai projek naik taraf kemudahan di Hospital Pulau Pinang bagi memastikan usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan dapat dilaksanakan dengan lancar demi manfaat rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








