BERITA SEMASAMALAYSIA MADANIPMX

Malaysia MADANI tonggak perpaduan, kemajuan seimbang – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerangka Malaysia MADANI merupakan jalan terbaik untuk menjamin kemajuan negara yang seimbang, berteraskan ihsan, rahmah dan nilai kemanusiaan tanpa mengabaikan perpaduan serta akar budaya bangsa.

“Kerangka MADANI mengimpikan kemajuan seimbang iaitu ekonomi rancak tetapi tetap disulam nilai ihsan, budaya dan karamah insaniah.

“Kita mahu teknologi dan tenaga baharu dimajukan, tetapi jangan sesekali meninggalkan budi pekerti,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia di Pulau Pinang malam tadi yang turut dihadiri rakyat dari Sarawak, Sabah dan seluruh Semenanjung.

Menurut Anwar, Hari Malaysia bukan sekadar memperingati tarikh keramat 16 September, tetapi menjadi ruang untuk menyingkap pengorbanan generasi terdahulu yang berjuang menolak penguasaan asing dan menuntut kebebasan yang bermaruah.

“Kemerdekaan ini lahir daripada darah, air mata dan keringat, hasil perjuangan panjang menentang kolonialisme dan imperialisme.

“Tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Temenggung Jugah, Tun Mustapha dan Tun Fuad Stephens telah menyatukan kepelbagaian untuk membentuk Malaysia yang berdaulat,” katanya.

Anwar turut mengingatkan bahawa kemerdekaan sejati bukan hanya bebas jasad, tetapi juga merdeka jiwa dan pemikiran.

Justeru, katanya, negara tidak boleh terjerumus dalam sikap tamak haloba dan kerakusan yang diwarisi daripada penjajah.

Dalam konteks Malaysia merdeka, jelas beliau, perpaduan adalah tonggak.

“Hak Melayu dan Bumiputera dijamin Perlembagaan, namun kemajuan negara mesti berpaksikan kesaksamaan peluang bagi semua,” katanya.

Perdana Menteri turut menegaskan pentingnya rakyat bersatu menghadapi cabaran baharu, termasuk pergolakan dunia dan tragedi berpanjangan di Palestin.

Beliau optimis Malaysia terus melangkah dengan kekuatan baharu di mana Pulau Pinang dan Johor sebagai gergasi industri, Sarawak sebagai hab tenaga serantau dan Sabah dengan potensi pertumbuhan tertinggi.

Dalam majlis itu, Anwar turut menyampaikan hadiah kepada peserta gerakan Bersama Malaysiaku yang dilancarkan sejak Julai lalu.

Program itu mengangkat guru, jururawat, pekerja pembersihan dan buruh sebagai wira sebenar pembangunan negara.

“Semoga semangat Hari Malaysia terus menyala, memandu langkah kita membina negara yang makmur, berdaulat dan berakhlak,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button